JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau telah mengedarkan khemah (C-Tent) sumbangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kepada pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.
Pegawai Daerah merangkap Pengerusi JPBD Daerah, Mohamad Najib Mustafa berkata, penyerahan telah dibuat kepada Pengerusi-Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pengerusi masjid yang terpilih untuk digunakan mangsa ketika berlakunya bencana.
“PPS yang terlibat dengan penyerahan ini adalah Balai Raya Kampung Sungai Timun, Masjid Sungai Timun, Masjid Lubok China, Masjid Pilin dan Balai Raya Titian Bitangor.
“Penyerahan sebanyak 100 unit khemah ini telah diedarkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Rembau,” katanya. – UTUSAN