Dua warga UK dipenjara, denda tipu pelaburan antarabangsa

Dua warga UK dipenjara, denda tipu pelaburan antarabangsa

ANGGOTA SPRM mengiringi dua warga negara United Kingdom di Mahkamah Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dua lelaki warga United Kingdom (UK) dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan terlibat sindiket penipuan pelaburan antarabangsa dalam talian, empat tahun lalu.

Tertuduh, Andrew Mark Peters, 55, yang berkerusi roda dan Darren Anthony McNicholas, 51, masing-masing turut didenda RM180,000 dan RM140,000.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan demikian selepas dua sahabat itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan berasingan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris dan menyifatkan kesalahan tersebut serius kerana melibatkan isu global.

“Saya berharap supaya tertuduh insaf dan tidak mengulanginya semula. Selain hukuman penjara enam bulan, tertuduh dikenakan tambahan penjara antara enam bulan hingga setahun jika gagal membayar denda,” katanya.

Mengikut dua pertuduhan itu, Andrew sebagai dalang sindiket bersama Darren didakwa menipu seorang warga Scotland masing-masing berjumlah AS$5,672.41 (RM25,528.68) dan EUR 121,200.00 (577,691.87) yang dimasukkan dalam dua akaun bank milik Premier Tranfers Ltd.

Ini bagi membuat pelaburan jangka masa singkat menerusi pembelian saham di dua buah syarikat tidak wujud iaitu Novocure Limited dan Lithion Power Corp. 

Kesalahan itu dilakukan mereka dengan menggunakan nama samaran ‘Henry Paxton’ dan ‘David Henshaw’ di sebuah bangunan di Petaling Jaya pada 21 Mei dan 27 Jun 2019. Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohamad Zamry dan Ahmad Akram Gharib memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

“Sindiket penipuan antarabangsa yang beroperasi di Lembah Klang itu jelas memberi impak negatif kepada Malaysia kerana menjadi pangkalan sindiket tersebut. Selain itu, ia mengambil kira faktor kekerapan kes penipuan ketika ini yang bukan saja berlaku di negara ini malah seluruh dunia,” jelasnya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Fahmi Abd. Moin bagaimanapun memohon pengurangan hukuman dua anak guam mereka yang memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak ditahan pada 21 Februari lalu.

“Kedua-dua mereka yang sudah berkeluarga itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau di UK dan ia merupakan kesalahan pertama di negara ini. Pengakuan salah mereka turut menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya.

SPRM sebelum ini membongkar satu sindiket ‘scammer pelaburan’ yang didalangi warga UK bersama beberapa negara lain kerana turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram serta rasuah menerusi Op Tropicana.

Mereka dipercayai menipu mangsa yang terdiri daripada warga Australia dan UK dengan memperdayakan mereka membuat pelaburan tidak wujud. Modus operandi sindiket itu adalah mencari mangsa menerusi media sosial dan panggilan telefon. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.