KUANTAN: Anak pasangan suami isteri yang meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 46 Kampung Selamat, Sungai Tong, Terengganu semalam tidak menyangka dua pasang telekung berwarna putih dan coklat dibeli ibunya dalam talian menjadi hadiah terakhir buat mereka.
Nur Farysya Eryany Faizul Azman, 19, berkata, kali terakhir dia berhubung dengan ibunya, Habsah Ismail, 42, adalah sekitar pukul 12 tengah hari semalam memaklumkan tentang pembelian telekung terbabit.
“Kali terakhir WhatsApp ibu lebih kurang pukul 12 tengah hari. Ibu minta terima bungkusan yang dihantar dan buat bayaran dengan mengambil wangnya yang disimpan dalam laci.
“Sepasang telekung sampai semalam dan sepasang lagi sampai hari ini sebab ada masalah sikit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Balok Permai, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 1 petang kelmarin, Faizul Azman Awang, 44, yang memandu Proton Exora dan isterinya, Habsah maut di tempat kejadian manakala anak mereka, Muhammad Daniel Dzulkarnain berusia 13 tahun cedera parah di muka dikejarkan ke Hospital Setiu.
Nur Farysya Eryany berkata, melihatkan dua pasang telekung itu membuatkan dia rasa sedikit pelik memandangkan ibunya hanya membeli dua pasang berbanding tiga pasang kebiasaannya.
“Saya rasa pelik sebab biasa ibu beli tiga pasang untuk kami bertiga tetapi tidak sangka kali ini ibu hanya beli dua sahaja untuk saya dan kakak,” katanya.
Menurutnya lagi, dia dan kakaknya, Hafyna Elyana, 22, mendapat tahu tentang kejadian menimpa ayah, ibu dan adiknya melalui jiran rumahnya yang datang bertanya tentang satu hantaran yang dimuat naik di laman media sosial Facebook tentang kemalangan terbabit.
Tambah Nur Farysya Eryany lagi, dia dan kakaknya belum berfikir lagi tentang perancangan akan datang dan hanya memikirkan keadaan Muhammad Daniel Dzulkarnain yang masih kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Mengenai persiapan menyambut Aidilfitri, kedua beradik itu yang bekerja di sebuah kedai makan dan baharu sahaja menerima gaji mereka, merancang untuk membawa Habsah ke bandar untuk membeli baju raya hari ini.
Menurutnya, jenazah kedua ibu bapanya selamat dikebumikan secara bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Balok kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
Pasangan suami isteri itu dikatakan baru selesai melawat jenazah abang Faizul Azman di Besut dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kuantan, Pahang.
Habsah juga sempat meluahkan rasa sedih atas pemergian abang iparnya menerusi hantaran di Facebook.
“Pergimu di hari dan bulan yang baik. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat keluarga kakak ipar, tiada lagi gurau senda dan senyum tawamu.
“Abang Gie sentiasa dalam kenangan kami. Arwah selalu tunggu kami kalau ke Besut. Ya Allah semoga syurga untuk abang iparku, amin,” tulisnya.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Afandi Hussin, kemalangan itu melibatkan 16 mangsa termasuk seorang bayi lelaki berusia dua bulan yang terselamat.
Beliau berkata, selain Proton Exora dipandu mangsa, nahas ngeri itu juga membabitkan sebuah lori, pacuan empat roda Nissan Navara, Perodua Axia dan Toyota Wish. – UTUSAN










