'Dawn of Civilization' bantu pelajar kuasai bahasa Inggeris

‘Dawn of Civilization’ bantu pelajar tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris

MOHD. Razali Abdul Rahman (belakang, enam dari kanan) bersama dengan para pemenang bagi permainan Dawn of Civilization pada Majlis Apresiasi di Hotel Saujana, Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sepanjang penggal persekolahan tahun 2022, kira-kira 14, 000 pelajar dari 61 sekolah daerah Lembah Klang, Hulu Langat dan Pekan telah melibatkan diri dalam permainan ‘Dawn of Civilization’ atau ‘Fajar Tamadun’.

Pengerusi Saujana Golf and Country Club, Tan Sri Mohd. Razali Abdul Rahman berkata, tujuan permainan digital tersebut adalah salah satu penyelesaian untuk para pelajar mempelajari bahasa Inggeris.

Menurutnya, pelajar dengan mudah boleh mempelajari bahasa Inggeris berdasarkan persekitaran membangunkan bandar dalam permainan tersebut.

“Permainan ini mempunyai cabarannya tersendiri dan pemain boleh bekerjasama dengan orang lain untuk bermain bersama.

“Belajar bahasa Inggeris melalui Dawn of Civilization jauh lebih menarik berbanding kaedah tradisional membaca dan menulis,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi di Hotel Saujana, Kuala Lumpur, kelmarin.

Mohd. Razali berkata, permainan Dawn of Civilization telah diperkenalkan ke sekolah-sekolah di Malaysia oleh Solve Education! Yayasan melalui kerjasama dengan Yayasan Saujana Cares ( SCF).

Katanya, permainan yang dilancarkan di sekolah tersebut pada tahun lepas adalah untuk memotivasi dan menggalakkan pelajar, guru dan sekolah untuk memanfaatkan permainan tersebut bagi sesi pembelajaran kepada pelajar.

Sehubungan itu, tambah beliau, SCF dengan komitednya  membiayai pelbagai hadiah termasuk penginapan satu malam atau makan tengah hari di Hotel Saujana bertaraf lima bintang, kelas golf di Saujana Golf and Country Club dan lain-lain lagi.

Para pemenang yang berjaya dan telah layak untuk menerima hadiah ini adalah pelajar dan guru yang telah mencapai pembelajaran paling banyak yang diukur dengan bilangan konsep yang dipelajari daripada bermain permainan tersebut.

Direkodkan bilangan konsep tinggi bahasa Inggeris yang dipelajari oleh kalangan pelajar yang menang adalah antara 1,600 hingga 5,300.

Pada majlis tersebut, turut diadakan pengiktirafan kepada sekolah yang mempunyai bilangan pelajar tertinggi yang berjaya mencapai kemajuan ketara.

Sementara itu, pemenang tempat kedua daerah Hulu Langat bagi permainan tersebut, Mohamad Afdan Hussin, 16, berkata, dia amat menyokong gaya pembelajaran bahasa kedua dengan menggunakan permainan dalam digital.

Mohamad Afdan yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Kajang berkata, sebelum ini dia tidak yakin untuk mempelajari bahasa Inggeris dan tidak yakin untuk menggunakannya dalam perbualan seharian.

“Namun dengan menggunakan permainan yang diperkenal, ia banyak membantu dalam memperbaiki penggunaan tatabahasa dalam bahasa tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN