Dakwaan perlekeh Menu Rahmah, Hanafiah mahu ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Dakwaan perlekeh Menu Rahmah, Hanafiah mahu ambil tindakan undang-undang

TANGKAP layar daripada video yang mendakwa Hanafiah Mat memperlekeh hidang Menu Rahmah. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN : Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan video dan mendakwa beliau memperlekeh hidangan Menu Rahmah.

Beliau berkata, individu tersebut berniat jahat dan mahu menjatuhkan reputasinya sebagai Exco kerajaan negeri yang selama ini mempunyai rekod cemerlang dalam menjaga kebajikan rakyat di negeri ini.

“Tidak pernah terfikir dan terlintas dalam hati saya untuk menghina Menu Rahmah, malah, dalam video saya, tidak ada satu perkataan pun yang saya sebut mengenai Menu Rahmah.

“Saya hanya beritahu hidangan yang saya makan itu berlaukkan ikan, dua jenis sayur dan telur goreng tanpa kuah, jadi saya curah air sebagai kuah kerana memang menjadi kebiasaannya saya makan nasi dengan kuah. Saya tak hina makanan, saya makan hingga habis juadah tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Hanafiah berkata, peguamnya telah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua individu yang menyebarkan video berkenaan dan telah berbincang dengan peguamnya untuk mengambil tindakan saman. 

“Saya juga nak ingatkan kepada orang ramai terutamanya ahli politik supaya mengamalkan konsep tabayyun atau selidik dahulu kesahihan sesuatu perkara sebelum membuat komen.

“Ada ahli politik yang kecam saya mengenai video tersebut, sepatutnya individu itu siasat dahulu sebelum bercakap sesuatu perkara,” ujarnya.

Sejak petang semalam, tular di laman sosial sebuah video berdurasi 17 saat yang dikatakan beliau memperlekeh menu makanan yang disediakan untuk golongan kurang berkemampuan.  

 Video tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dan turut menarik perhatian dua ahli politik yang turut membidas tindakan tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN