GUA MUSANG: Bercakap kepada Utusan Malaysia, Che Mohd. Izani berkata, keputusan menawarkan diri untuk jawatan itu dibuat bertujuan memberi nafas baharu kepada saf kepimpinan UMNO Bahagian Gua Musang selain semula kepercayaan orang muda terhadap parti.
Menurutnya, sudah tiba masanya Gua Musang mendapat ketua baharu yang dapat bekerja dan membawa nama parti ke tahap lebih baik selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu.
“Kekalahan itu merupakan isyarat jelas yang rakyat mahukan perubahan kepimpinan. Saya yakin jika para perwakilan Gua Musang berani melakukan perubahan, akar umbi UMNO akan kembali kuat.
“Saya melihat tiada siapa yang berani mencabar Ku Li, jadi saya bertindak untuk mencabar jawatannya,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Che Mohd. Izani yang merupakan Ketua Cawangan Felda Aring 2 memberitahu, jika diberi mandat sebagai Ketua UMNO bahagian, dia bertekad memperjuangkan hak serta menarik lebih ramai penyertaan orang muda untuk menyertai UMNO.
Katanya, Ketua UMNO Bahagian yang baharu perlu bekerja kuat serta memberi nafas baharu terutamanya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Saya menghormati Ku Li sebagai orang lama, namun politik sekarang ini memerlukan perubahan termasuk pemimpin.
“Ku Li sepatutnya bersara dan memberi laluan kepada orang muda untuk memimpin. Saya melihat orang muda di daerah ini sudah tawar hati dan hilang minat dengan UMNO. Kita tidak mahu di saat kita menghadapi PRN, ada yang sabotaj atau berpaling tadah meninggalkan parti,” ujarnya.
Ku Li akan dicabar buat kali kedua sejak memimpin bahagian tersebut selama 64 tahun.
Kali pertama bekas Menteri Kewangan itu dicabar oleh bekas Ketua Pemuda ketika itu, Datuk Bazlan Baharuddin pada pemilihan UMNO Bahagian Gua Musang 2013.
Untuk pemilihan kali ini ahli UMNO, Datuk Shaari Lembut dan bekas Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Che Izani. – UTUSAN










