KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki cedera di tangan kanan akibat digigit seekor anak buaya dipercayai spesies tembaga ketika mengambil wuduk di kawasan paya di Padang Papan, Manir, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7.25 malam itu, Che Man Zakaria, 61, yang juga peniaga ikan darat menerima 12 jahitan akibat digigit reptilia tersebut.
Katanya, sebelum kejadian dia bersama beberapa rakannya memasang lukah untuk menangkap ikan darat di paya itu.
Katanya, dia kemudian ingin berehat sementara sambil menunaikan solat Maghrib dan kemudian mengambil wuduk di kawasan paya berkenaan.
“Sewaktu saya mencangkung untuk mengambil wuduk, tiba-tiba seekor buaya dipercayai spesies tembaga sepanjang dua meter dan berat lebih 50 kilogram menyambar tangan kanan saya.
“Ia menyebabkan saya terjatuh ke dalam paya yang sedalam kira-kira 1.7 meter,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kebor Besar, Manir, di sini, semalam.
Che Man berkata, dia bergelut dengan anak buaya tersebut dan dapat melonggarkan gigitannya sebelum berenang ke tebing paya untuk menyelamatkan diri.
Pada masa sama, katanya, beberapa rakannya yang melihat kejadian itu cuba membantu menyelamatkannya.
“Salah seorang anak saya kemudian membawa saya ke Klinik Kesihatan Manir sebelum ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk menerima rawatan,” ujarnya.
Menurutnya, dia pernah terserempak dengan sekurang-kurangnya tiga ekor buaya termasuk yang menyerangnya sejak awal tahun ini.
Katanya, buaya-buaya tersebut dipercayai terlepas dari Sungai Nerus yang bersambung dengan kawasan paya terbabit akibat limpahan semasa musim banjir baru-baru ini. – UTUSAN











