KUALA NERUS: Seorang buruh dilaporkan hilang ketika keluar memikat burung di hutan simpan dekat Bukit Sudu, Kampung Lingai di sini, Isnin lalu.
Mohd. Azani Alias, 37, dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Pengkalan Arang, di sini pada pukul 6.30 pagi Isnin sebelum keluarganya membuat laporan polis selepas 24 jam tidak pulang ke rumah.
Rakannya, Ashahidi Awang, 35, berkata, dia menerima dua pesanan WhatsApp daripada mangsa antara pukul 7 pagi sehingga 9.37 pagi Isnin sebelum Mohd. Azani gagal dikesan.
“Kami sepatutnya pergi sekali tetapi saya bangun tidur agak lewat. Mohd. Azani menghantar gambar kawasan pokok getah disusuli gambar burung dipercayai yang ditangkapnya.
“Sekitar pukul 10 pagi, saya cuba menghubunginya namun gagal. Bagaimanapun saya dan rakan-rakan keluar memikat burung seperti biasa tanpa berfikir kejadian buruk menimpa Mohd. Azani.
“Lewat petang itu kira-kira pukul 6.45 petang, abangnya, Mohd. Zuhaidi, 41, memaklumkan dia belum pulang ke rumah menyebabkan kami menjadi risau,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd. Zuhaidi berkata, laporan polis mengenai kehilangan adiknya itu dibuat ahli keluarganya di Balai Polis Gong Badak di sini pada pukul 7 pagi kelmarin sebelum mereka menemukan motosikal milik Mohd. Azani di kaki Bukit Sudu kira-kira pukul 2.30 petang.
“Dia tidak pernah pulang lewat kalau masuk ke hutan. Jadi apabila hampir maghrib dia belum balik, kami peliklah. Kami cuba cari kawasan seperti dalam gambar yang dihantar dalam pesanan WhatsApp itu namun gagal,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berkata, lebih 50 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat Mohd. Azani. – UTUSAN











