Bung, Zizie belum fail petisyen rayuan - Utusan Malaysia

Bung, Zizie belum fail petisyen rayuan

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izzete.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette A. Samad masih belum memfailkan petisyen rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan mereka membela diri atas tuduhan rasuah.

Ia berikutan rekod rayuan dan nota prosiding masih belum diperoleh.

Pada 19 September 2022, Bung Moktar dan isterinya memfailkan permohonan secara berasingan antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil serta memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan agar mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah serta bersubahat.

Pada 9 Disember 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal oleh pihak pendakwaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How selepas prosiding pengurusan kes rayuan itu hari ini.

Peguam bela pasangan itu, Tey See Khoon ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.

“Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes lanjut pada 22 Mei ini,” katanya.

Pengurusan kes itu dibuat secara  dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Dr. Syahliza Warnoh.

Pasangan suami isteri itu yang sepatutnya mula membela diri terhadap pertuduhan rasuah melibatkan pelaburan RM150 juta wang Felcra dalam unit amanah Public Mutual Berhad bermula 3 Januari lalu namun berjaya menggantung prosiding tersebut sehingga rayuan tersebut diputuskan.

Pada 2 September 2022, Rozina memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya