Bung Moktar ingatkan pemimpin UMNO tidak tinggalkan parti

Bung Moktar ingatkan pemimpin UMNO tidak tinggalkan parti

BUNG MOKHTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yakin kedudukan UMNO di negeri ini akan kembali kukuh selepas pemilihan UMNO berlangsung.

Beliau berkata, selepas pemilihan ini, UMNO Sabah akan akan dipimpin oleh mereka yang berintegriti dan bertanggungjawab memperkukuhkan parti.

“Saya akan menyusun strategi parti pada masa akan datang untuk memastikan UMNO Sabah bukan hanya memainkan peranan untuk menghidupkan dan memperkukuhkan semula UMNO tetapi, kita akan menjayakan misi untuk memastikan Sabah terkeluar daripada belenggu kemiskinan.

“Saya cukup yakin di Sabah walaupun kemelut UMNO ini berlarutan tetapi saya percaya UMNO akan kembali memerintah negeri Sabah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, pada masa ini Barisan Nasional (BN) Sabah menyokong kerajaan perpaduan di peringkat negeri seperti yang dimaklumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Bung Moktar, anggota UMNO di Sabah diharap tidak bertindak meninggalkan parti kerana UMNO akan kembali bangkit dengan sokongan ahli di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, parti ini mempunyai struktur yang kukuh maka, andaian penganalisis politik bahawa UMNO dalam keadaan yang tenat adalah tidak benar.

Sokongan di peringkat akar umbi memperlihatkan bahawa UMNO amat berbeza dengan parti-parti yang lain.

“UMNO dilahirkan daripada sebuah perjuangan untuk membebaskan rakyat daripada belenggu penjajahan British sedangkan parti-parti yang lain ditubuhkan di atas jalan raya, atas lompatan dan sebagainya.

“Justeru, jangan tinggalkan UMNO sebab UMNO ini adalah parti yang mempunyai kelainan dengan parti-parti yang lain,” katanya.

Selepas PRU-14, kebanyakan pemimpin-pemimpin UMNO meninggalkan parti termasuk di Sabah tetapi, UMNO berjaya bangkit semula dan kebangkitan ini amat luar biasa.

“Apabila UMNO tidak menjadi sebahagian kerajaan di Sabah, ramai pemimpin yang meninggalkan UMNO… yang pergi ini adalah mereka yang tidak berintegriti dan tidak memikirkan kelangsungan parti.

“Mereka yang keluar memberi alasan tindakan itu untuk kestabilan politik tetapi, ia sekadar satu alasan untuk mereka yang mementingkan diri sendiri,” katanya.-utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN