Bot nelayan tempatan tiada lesen, gajikan PATI ditahan - Utusan Malaysia

Bot nelayan tempatan tiada lesen, gajikan PATI ditahan

MARITIM Malaysia Pulau Pinang menahan bot nelayan tempatan di perairan Pulau Kendi, Pulau Pinang semalam kerana dikendalikan PATI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua bot nelayan tempatan di sekitar perairan Pulau Kendi semalam kerana tidak mempunyai lesen yang sah serta melanggar syarat kerana menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh kapal dan bot Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin Op Pertiwi dan Op Tanjung sekitar pukul 10.41 pagi dan 10.20 malam semalam.

Katanya, penahanan pertama dijalankan selepas pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 30 kilometer barat daya Pulau Kendi.

”Bot berkenaan berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak dan dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun.

”Dua kru bot ini gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah, dan pemilik didapati menggajikan kru warga asing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

Dalam pada itu, katanya, bot nelayan kedua ditahan pada kedudukan 1.12 kilometer tenggara Gertak Sanggul yang berpangkalan di Jeti Teluk Kumbar.

”Bot ini dikendalikan oleh empat kru kesemuanya warga tempatan berumur antara 18 hingga 51 tahun dan mereka gagal mempamerkan lesen selain bot tidak diusahakan sendiri pemiliknya.

“Kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan bersama 550 kilogram hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dan jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk tindakan lanjut.

”Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat.

”Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Katanya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 – 2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya