LIPIS: Tidak terucap dengan kata-kata sebaliknya hanya mampu melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT bagi tiga penduduk golongan kurang berkemampuan di Padang Tengku di sini apabila menerima bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penerima RRP Kampung Bapong yang juga seorang ibu tunggal, Siti Norizan Hasan@Husin, 43, berkata, bulan Ramadan tahun ini cukup bermakna baginya apabila menerima kediaman baharu yang lebih selesa diberikan percuma oleh kerajaan negeri.
“Ini merupakan rahmat Ramadan kerana penyerahan rumah itu bertepatan dengan bulan ini sekali gus saya bersyukur kerana impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai,” katanya di sini semalam.
Mengulas bantuan RRP itu, Siti Norizan yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan berpendapatan RM500 sebulan berkata, ia tidak mencukupi untuknya menyara enam anak yang masih belajar termasuk salah seorangnya orang kurang upaya (OKU) kategori lembam.
Jadi katanya, mana mampu dia membeli peralatan binaan atau mengupah orang membina rumah sendiri memandangkan pendapatannya hanya untuk berbelanja keperluan dapur namun masih tidak mencukupi lebih-lebih lagi keperluan persekolahan, pakaian hari raya dan kuih-muih untuk keluarga.
“Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan wakil rakyat Padang Tengku, Datuk Mustapa Long kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima RRP,” katanya.
Seorang lagi penerima dari Kampung Beralas, Wan Mohd. Nazari Wan Hassan, 50, berkata, bantuan kediaman itu dapat menyelesaikan masalah tempat tinggal tetap kerana sebelum ini dia cuma menumpang berteduh di rumah kakaknya di Taman Cempaka, Padang Tengku.
“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana kehadiran bulan Ramadan tahun ini memberikan rahmat kepadanya memiliki kediaman tetap dan bolehlah membawa emak, Wan Masusah Wan Mat, 82, yang telah uzur tinggal bersama.
“Sesuailah dengan kami, kediaman ini cukup selesa dilengkapi dengan ruang tamu, tiga bilik tidur, tandas, bilik air dan dapur. Terima kasih kerajaan Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, Mustapa berkata, RRP merupakan inisiatif kerajaan negeri yang menyediakan kediaman selesa kepada rakyat berkelayakan.
“RRP ini diberikan percuma kepada penduduk yang layak dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan. Harga RRP dahulunya RM65,000 seunit, tetapi kerajaan negeri menambah peruntukan kepada RM75,000 berikutan kenaikan kos bahan binaan,” jelasnya. – UTUSAN











