Berdepan usul kosongkan kerusi, 4 ADUN pembangkang tetap hadir sidang DUN - Utusan Malaysia

Berdepan usul kosongkan kerusi, 4 ADUN pembangkang tetap hadir sidang DUN

EMPAT ADUN pembangkang Pulau Pinang (dari kiri), Dr. Afif Bahardin; Zolkifly Md. Lazim; Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Zulkifli Ibrahim dalam sidang akhbar di ibu pejabat Parti Gerakan Pulau Pinang, George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kesemua empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tetap akan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin ini di sebalik pembentangan usul supaya mereka mengosongkan kerusi DUN masing-masing.

Malah, mereka juga sedia berdepan sebarang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya usul itu diluluskan termasuk perlu meninggalkan bangunan DUN.

Bagaimanapun, menurut ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, kesemua mereka akan mempertahankan kedudukan masing-masing ketika perbahasan usul itu khususnya berkenaan kelompangan yang terdapat dalam akta tersebut.

Antaranya, ujar beliau, akta itu tidak memberi kuasa kepada Speaker bagi membolehkan sesebuah kerusi dikosongkan selain definisi tindakan melompat parti yang tidak jelas.

Dalam masa sama, tegasnya, akta berkenaan lompat parti yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri juga tidak selari dengan pindaan akta di peringkat Kerajaan Pusat.

“Masalahnya di sini adalah berkenaan kelompangan dalam akta itu di peringkat kerajaan negeri, bukan sebab (masalah) kami.

“Apa yang dilakukan Kerajaan DAP Pulau Pinang ini adalah mereka merampas mandat yang sudah ditentukan rakyat menerusi usul mengosongkan kerusi DUN dan mereka sesuka hati mahu menentukan siapa yang sepatutnya berada di dewan (DUN), sedangkan yang memilih kami adalah rakyat (pengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di sini hari ini yang turut disertai tiga lagi ADUN pembangkang yang berdepan tindakan mengosongkan kerusi DUN masing-masing iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh); Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md. Lazim (Telok Bahang).

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang yang juga Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sidang DUN yang dijadual Isnin ini akan membentangkan satu usul bagi tujuan pengosongan empat kerusi DUN berkenaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesahihan klausa-klausa dan perkara-perkara di dalam Perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Ia berikutan keputusan panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada Ogos tahun lalu yang memutuskan peruntukan di bawah enakmen anti lompat parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Sementara itu, Dominic turut mempertikai usul pengosongan kerusi empat ADUN pembangkang pada sidang DUN Isnin ini yang disifatkan dwi standard dan tidak adil.

Tegas beliau, dalam kes melibatkan Khaliq Mehtab dan Zolkifly, kedua-dua ADUN berkenaan merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketika mereka memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan masih kekal ahli Bersatu sehingga kini.

Selain itu, ujar beliau, Dr. Afif dan Zulkifli pula dipecat daripada parti mereka iaitu PKR sekali gus tidak boleh dianggap tindakan melompat parti seperti mana disebut dalam akta yang diluluskan terbabit.

“Jadi, bagaimana boleh dianggap keempat-empat ADUN ini telah melompat parti sehingga kerajaan negeri perlu membawa usul mengisytiharkan DUN mereka kosong?

“Malah, jika dilihat semula ketika PRU-14, calon Pakatan Harapan (PH) ketika itu seperti DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding dan menang menggunakan logo parti PKR.

“Jika mengambil kira tanggapan kerajaan negeri mengikut akta lompat parti ini, maknanya calon DAP dan Amanah yang menang juga dianggap telah melompat parti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.