Bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq dakwa dikasari, diugut pegawai SPRM

Bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq dakwa dikasari, diugut pegawai SPRM

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA). - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha peribadi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dijalankan terhadap Ahli Parlimen Muar itu, tiga tahun lalu.

Siti Nurul Hidayah, 27, berkata, perbuatan pegawai-pegawai berkenaan menyebabkannya membuat laporan polis dan seterusnya mengadakan sidang akhbar berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, ketika SPRM memulakan siasatan terhadap Syed Saddiq, beliau dihubungi oleh seorang pegawai bernama Mohd. Ihsan Sapuan agar memberi keterangan di ibu pejabat agensi berkenaan.

Ujar saksi pembelaan keempat itu, Mohd. Ihsan memperkenal diri sebagai pegawai penyiasat yang terlibat dalam siasatan terhadap Syed Saddiq.

“Dalam siasatan tersebut, saya diugut dan dikasari oleh pegawai-pegawai yang melakukan siasatan terhadap saya, lanjutan itu saya telah membuat laporan polis dan mengadakan sidang media mengenainya,” ujar Siti Nurul Hidayah.

Pada perbicaraan sebelum ini, Syed Saddiq memberi keterangan bahawa pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dendam manakala beberapa sahabatnya diugut oleh pegawai SPRM ketika siasatan dijalankan.

Ahli Parlimen Muar itu menyatakan, mereka yang juga ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diugut supaya memberikan kenyataan mengikut kehendak SPRM. Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Syed Saddiq, 30, yang didakwa atas empat pertuduhan iaitu bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).

Ketika membacakan pernyataan saksi, Siti Nurul Hidayah berkata, beliau mula mengenali Syed Saddiq melalui satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Challenger dan selanjutnya berkhidmat sebagai setiausaha peribadinya ketika beliau menjadi ahli Bersatu pada 2016.

Ujar saksi, tugasnya antara lain ketika itu adalah mengambil gambar dan video ketika Ahli Parlimen Muar itu sedang bertugas dan seterusnya dihantar ke media sosial selain menguruskan jadual harian beliau.

Menjawab soalan pada sesi pemeriksaan balas, penuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bersetuju bahawa beliau dilantik sebagai setiausaha peribadi kerana Syed Saddiq mempercayainya.

Kata Siti Nurul Hidayah, beliau kemudian menganggotai `Team Syed Saddiq’ yang ditubuhkan pada 2018 bagi membantunya melaksanakan kempen pilihan raya.

Menurut Siti Nurul Hidayah, Syed Saddiq mula melakukan gerak kerja khidmat untuk mempromosikan diri selaku calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Saksi berkata, sepanjang tempoh 10 program yang dianjurkan, Syed Saddiq menggunakan wangnya sendiri tanpa bantuan kewangan daripada Armada mahupun Bersatu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. Mengikut pertuduhan, beliau didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana Armada berjumlah RM1 juta.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.