Bazar Ramadan tetap jadi pilihan walaupun harga naik

Bazar Ramadan tetap jadi pilihan walaupun harga naik

HARGA makanan berasakan ayam didapati mengalami kenaikkan harga sekitar RM1 ketika tinjauan dilakukan di bazar Ramadan sekitar Sungai Petani, Kedah. - FOTO/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Makanan serta minuman yang dijual di beberapa buah bazar Ramadan di daerah ini menunjukkan sedikit peningkatan harga berbanding tahun lalu.

Walaupun rata-rata menu makanan dan minuman didapati mengalami penambahan kira-kira 50 sen hingga RM1, tetapi orang ramai tetap membeli juadah kegemaran mereka.

Tinjauan Utusan Malaysia di Bazar Ramadan Taman Ria Jaya dan Taman Ria, di sini mendapati, hampir kesemua menu makanan berasaskan ayam dan ikan mengalami kenaikkan harga.

Difahamkan, pengunjung masih boleh membeli lauk-pauk kegemaran mereka pada harga serendah RM5 atau RM10 untuk satu plastik namun berbeza dari segi kuantiti yang dikatakan
agak berkurangan.

Begitu juga minuman yang siap dibungkus atau jus buah-buahan tidak boleh lagi didapati pada kadar harga RM1.50, sebaliknya dinaikkan kepada antara RM2 dan RM3 sebungkus.

Seorang pengunjung, Muhammad Ubaidullah Abdullah, 45, berkata, dia terkejut apabila berkunjung ke bazar untuk membeli murtabak pada hari pertama Ramadan, Khamis lalu.

“Selalunya murtabak ayam atau daging dijual dengan harga RM3.50 sekeping berbanding kali ini RM4 sebiji.

“Sebagai peminat murtabak kami tetap membelinya, tambahan lagi apabila peniaga membuat muka sedih sambil melontarkan ayat ‘nak buat macam mana bekalan mahal’,” katanya ketika ditemui.

Zalilah Zailan, 46, berkata, dia mendapati ayam bakar atau ayam panggang mengalami kenaikan harga RM1 seketul berbanding jualan tahun lalu.

“Ayam bakar dijual antara RM9 seketul dan kita dapati saiznya turut kecil berbanding jualan hari biasa. Manakala ikan keli bakar dan ikan kembung yang disumbat kelapa turut dijual dengan harga RM9 seekor sedangkan pada hari biasa ianya boleh dibeli antara RM7 ke RM8 seekor,” katanya.

Bagi peniaga, Rohani Bakar, 44, berkata, kenaikkan keseluruhan bahan mentah menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan untuk mendapat sedikit keuntungan dengan menaikkan harga semua juadah yang dijualnya.

“Kenaikkannya tidak melibatkan jumlah yang besar kerana bagi kami ia masih berpatutan apabila pembeli dapat menikmati makanan dan pada masa sama kami pula tidak mengalami
kerugian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN