JOHOR BAHRU: Kejadian ‘banjir termenung’ di Batu Pahat menyebabkan kira-kira 30,000 mangsa terus terperangkap di pusat pemindahan sementara (PPS).
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, Batu Pahat adalah daerah yang paling terjejas ketika ini.
Menurutnya, keadaan itu menjadikan mangsa banjir di negeri ini meningkat 41,543 orang daripada 11,818 keluarga yang direkodkan pada pukul 12 tengah hari kelmarin.
Kesemua mangsa kini ditempatkan di 198 PPS di Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Batu Pahat, Muar dan Tangkak.
“Batu Pahat menjadi daerah paling terjejas akibat banjir dengan seramai 29,341 mangsa daripada 8,278 keluarga dipindahkan ke 94 PPS.
“Turut terjejas ialah Muar dengan seramai 4,123 mangsa, diikuti Tangkak (2,536), Segamat (1,924), Kluang (1,313), Mersing (1,162), Kota Tinggi (1,070) dan Pontian (74),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, jumlah korban banjir di negeri ini meningkat kepada enam mangsa direkodkan sejak bencana banjir melanda seminggu lalu, melibatkan tiga kes di Segamat dan masing-masing satu kes di Kluang, Mersing dan Batu Pahat.
“Seorang mangsa maut selepas kenderaan dinaiki dihanyutkan arus deras, empat yang lain dilaporkan mati lemas dan seorang lagi meninggal dunia akibat sakit tua,” katanya.
Sebanyak 11 batang sungai di Segamat, Muar dan Batu Pahat berada dalam kategori paras air berbahaya, antaranya Sungai Muar, Sungai Bekok, Sungai Sembrong dan Sungai Simpang Kiri.
Sebanyak 36 laluan dan susur masih ditutup untuk semua jenis kenderaan, antaranya Jalan Johor Bahru-Seremban, Jalan Paloh, Jalan Yong Peng-Muar, Jalan Sri Bengkal dan Jalan Sri Medan. – UTUSAN