PETALING JAYA: Keuntungan syarikat perladangan dijangka terkesan pada separuh kedua tahun ini susulan peluasan struktur Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, struktur cukai yang disemak semula itu akan mengenakan levi lima peratus ke atas beberapa produk huluan dan hiliran, termasuk tandan buah segar (BTS), tandan kosong (EFB), tempurung isirung sawit (PKS), bahan penyulingan asid lemak sawit (PFAD), bahan penyulingan asid lemak isirung sawit (PKFAD) dan minyak isirung sawit (PKO).
“Kesan paling ketara dijangka daripada pembelian BTS luar oleh kilang penapis minyak sawit mentah (MSM) dan pembelian PKO luar oleh pemain hiliran
“Cukai tersebut turut dikenakan sebagai tambahan kepada levi sedia ada dalam industri sawit termasuk cukai keuntungan luar biasa, cukai jualan MSM di Malaysia Timur serta cukai eksport terhadap semua produk sawit.
“Walaupun terdapat sedikit pengimbang melalui cukai ke atas jualan EFB, PKS dan PFAD, kami menjangkakan kesan bersih terhadap keuntungan adalah negatif,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Firma itu menganggarkan penurunan keuntungan tahunan antara 0.3 hingga 11 peratus, bergantung kepada kadar pembelian BTS luar oleh syarikat perladangan, berdasarkan andaian harga pembelian BTS luar pada RM850 satu tan dengan kadar cukai lima peratus.
FGV Holdings Bhd. dikenal pasti paling terdedah memandangkan kira-kira 70 peratus BTS yang diprosesnya adalah daripada sumber luar.
Bagaimanapun, RHB Research berkata, kekurangan pendedahan berhubung pembelian PKO dan jualan hasil sampingan lain menyukarkan pengiraan penuh kesan cukai tersebut.
“Kami tidak dapat menilai sepenuhnya kesan pembelian PKO luar dan hasil produk sampingan lain memandangkan tiada pendedahan data berkaitan.
“Kami masih mengekalkan penarafan sektor sebagai ‘dalam semakan’ tetapi kekal berhati-hati optimis terhadap harga MSM,” ujarnya.
Sementara itu, unjuran harga MSM pada RM4,300 satu tan bagi tahun ini dijangka sukar dicapai memandangkan purata harga setakat ini sudah mencecah RM4,400 satu tan.
Tambahnya, meskipun begitu, syarikat perladangan secara keseluruhan masih mencatatkan keuntungan meskipun penilaian pasaran kekal rendah.
“Harga MSM dijangka pulih menjelang akhir tahun apabila pengeluaran bermusim mula menyusut,” katanya.-UTUSAN










