PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski perlu mencari lawan yang setanding atau lebih baik dalam perancangan skuad kebangsaan mengadakan aksi persahabatan menjelang kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 1 hingga 9 September ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Pekan Ramli berkata, adalah mustahak untuk pengendali dari Australia itu mendapatkan lawan yang berkualiti dalam usahanya untuk meletakkan Harimau Malaya dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia.
“Kalau menunjukkan komitmen ke arah itu, saya fikir ia boleh dicapai memandangkan ketika ini momentum Harimau Malaya berada dalam keadaan terbaik jadi persiapan untuk skuad negara perlu dilakukan secara berterusan.
“Cklamovski kena cari pasukan bawah 100 dunia untuk mengadakan aksi persahabatan tambahan pula, buat apa nak lawan dengan pasukan yang lebih rendah ranking mereka berbanding pasukan kebangsaan. Kita juga sudah ada pemain warisan berkualiti,” katanya.
Jurulatih kelahiran Australia itu diletakkan dua sasaran utama yang perlu dicapai iaitu layak secara merit ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi serta menempatkan Harimau Malaya dalam 100 pasukan terbaik.
Harimau Malaya mengungguli Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi selepas menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pertama sebelum membelasah Vietnam 4-0 di Bukit Jalil pada 10 Jun lalu.
Begitu pun, Pekan mengingatkan agar tidak terlalu cepat berpuas hati dengan pencapaian Harimau Malaya berdasarkan dua aksi tersebut memandangkan perjalanan pasukan untuk ke Arab Saudi masih jauh.
“Selepas ini kita masih ada lagi baki aksi kumpulan menentang Laos, Nepal dan Vietnam pada Mac 2026 dan kita masih belum pasti lagi pemain warisan yang kita ada sekarang ini boleh diturunkan atau tidak.
“Kena bagi masa kepada Cklamovski kerana tak boleh cakap dua aksi ini dia capai sasaran kerana sasaran utama dia layak ke Piala Asia 2027 dan selepas itu sasaran baharu kena buat,” katanya. – UTUSAN










