Bangga terlibat projek kereta perisai AV8 Gempita

Bangga terlibat projek kereta perisai AV8 Gempita

ROSLI Teriman (kanan) dan Wan Mohamed Aizat Wan Mohamed adalah dua individu penting bagi pemasangan kenderaan berperisai AV8 Gempita yang dikendalikan DEFTECH di Pekan, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Dua pekerja Syarikat DRB-HICOM Defence Technologies Sdn. Bhd. (DEFTECH) melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan pemasangan dan pengurusan sistem senjata kenderaan berperisai AV8 Gempita untuk kegunaan Tentera Darat.

Penolong Pengurus Jabatan Pengeluaran DEFTECH, Rosli Teriman, 56, berkata, keterlibatannya dalam memantau, memasang dan menguji nilai kereta perisai AV8 Gempita adalah pencapaian yang tidak pernah difikirkannya sebelum bekerja bersama syarikat itu sejak Julai 1996.

“Selepas kejayaan menamatkan projek pemasangan ACV 300 Adnan sebanyak 267 unit yang mana 56 unit daripadanya dipasang di Pekan, saya diberi peluang pula melaksanakan kerja-kerja pemasangan kenderaan berperisai AV8 Gempita dan kenderaan-kenderaan sokongan sebanyak 259 unit sehingga selesai.

“Kejayaan ini membuat saya merasa bangga apabila melihat kenderaan tersebut beroperasi dalam pasukan Tentera Darat,” katanya di sini semalam.

Rosli berkata, setelah terlibat dengan dua projek besar iaitu ACV Adnan dan AV8 Gempita, dia berbesar hati jika diberi peluang untuk terlibat dengan projek kenderaan berperisai lain pada masa akan datang sebelum bersara.

Berkongsi tentang kerjayanya bersama DEFTECH, Rosli berkata, setelah bersara daripada tentera pada 1996, dia memulakan kerjaya di syarikat itu sebagai seorang mekanik.

“Alhamdulillah, kerjaya saya berkembang dan dengan ilmu dan pengalaman yang saya miliki diberi peluang terus bekerja serta diberi kepercayaan mengendali bahagian pemasangan kenderaan dalam Jabatan Pengeluaran di DEFTECH sehingga hari ini,” katanya.

Sementara itu, jurutera sistem senjata DEFTECH, Wan Mohamed Aizat Wan Mohamed, 36, pula berkata, dia dan pasukannya berjaya menghantar semua senjata dan turet untuk program AV8.

“Kami menyelesaikan ujian tembakan yang diperlukan untuk semua senjata. Sepanjang perkhidmatan saya di sini, saya dilantik sebagai Ketua Teknikal Bersama untuk tiga varian iaitu Kenderaan Pemerintah Berperisai (Armoured Command Vehicle), Pembawa Mortar Berperisai (Armoured Mortar Carrier) dan Kenderaan Berperisai Jurutera Nuklear, Biologikal, Kimia dan Recce (Armoured Engineer, Nuclear, Biological, Chemical & Recce Vehicle) sebelum dilantik sebagai ketua teknikal selepas peletakan jawatan pemimpin terdahulu. Saya telah berjaya menghantar kesemua kenderaan varian ini kepada tentera.

“Bagi pencapaian peribadi, saya berbangga kejayaan tembakan berturut-turut dalam kadar per minit (Salvo) bagi sistem mortar 2R2M 120 milimeter (mm) pada caj penuh yang telah diakui oleh pembekal produk asal (OEM),” katanya.

Wan Mohamed Aizat berkata, setelah siapnya projek AV8, beliau berharap kerajaan akan memberi peluang kepada industri pertahanan Malaysia sama ada meneruskan projek AV8 atau projek kenderaan berperisai lain.

“Secara peribadi, saya membayangkan diri saya mengetuai kumpulan besar pasukan pakar senjata (sistem tempur) dalam membangunkan sistem senjata baharu yang boleh digunakan oleh pelanggan kami untuk jangka masa lebih lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN