PASIR MAS: ‘Kegilaan’ masyarakat terhadap ayam serama kekal subur menerusi penyertaan pemiliknya dalam pertandingan menilai kecantikan dan gaya unggas berkenaan.
Situasi itu dapat dilihat apabila ada pemilik haiwan itu sanggup datang dari luar negeri ini untuk menyertai Pertandingan Kesenian dan Kecantikan Warisan Ayam Serama Kelantan yang berlangsung di Tendong, di sini, baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganjurnya, Datuk Seri Suzainal Adnan Sukri berkata, lebih 200 peserta daripada pelbagai peringkat usia memeriahkan pertandingan tersebut.
Katanya, penyertaan itu membuktikan minat terhadap ayam serama kekal subur dalam kalangan masyarakat.
“Paling mengujakan apabila ada peserta dari Perlis sanggup membawa ayam serama bernilai RM15,000 menyertai pertandingan ini.
“Walaupun jauh, kesungguhan para peserta dari luar Kelantan yang sanggup menyertai pertandingan ini wajar diberikan kredit,” katanya.
Suzainal berkata, pertandingan itu sekali gus dapat merapatkan lagi hubungan antara pencinta unggas berkenaan untuk saling bertukar-tukar pandangan dalam penjagaan ayam serama.
Katanya, beliau bercadang menganjurkan pertandingan dalam skala lebih besar selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. – UTUSAN










