Aset milik Bersatu akan disita?

Aset milik Bersatu akan disita?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aset milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkemungkinan disita pihak berkuasa dalam tempoh terdekat.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, tindakan membekukan aset itu dikatakan ada kaitan dengan kes membabitkan presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui bila tindakan tersebut akan diambil dan masih menimbulkan pelbagai persoalan berhubung perkara terbabit.

“Kami ada terdengar kemungkinan usaha untuk menyita aset milik Bersatu akan dilakukan oleh pihak berkuasa.

“Tindakan itu dikatakan berkait rapat dengan kes Muh­yiddin. Namun, tidak dipastikan kesahihannya. Ini saya dengar ketika kami mesyua­rat di peringkat kepimpinan parti,” katanya baru-baru ini.

DR. FAIZ NA’AMAN

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini berkaitan inisiatif Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa atau Jana Wibawa.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berdepan pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pe­ngubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivi­ti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Dalam pada itu Muhammad Faiz berkata, walaupun Bersatu terus diberi tekanan, parti itu tidak akan lumpuh dan akan diberi mandat oleh rakyat.

“Insya-Allah tidak. Sebenarnya bukan mudah untuk melumpuhkan gerakan yang dipilih dan diterima rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.Walaupun kita tidak menang secara total tapi penerimaan masyarakat terutama orang Melayu kepada kita tinggi.

“Mungkin apa yang berlaku hari ini akan terjadi sebagaimana waktu reformasi dahulu. Kalau kita lihat sewaktu reformasi dulu, hampir semua media bersungguh-sungguh memainkan naratif di pihak kerajaan. Tapi adakah ketika itu semua orang percaya naratif terbabit? Jawapannya tidak,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN