KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan hari ini tidak pernah campur tangan dalam kes rasuah mahupun penyelewengan yang membabitkan pemimpin politik.
Menurut Perdana Menteri, sekiranya semua pendakwaan hendak dikaitkan dengan motif politik maka sistem keadilan tidak akan dapat mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya tidak campur tetapi saya beritahu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Pejabat Peguam Negara tengok kes dulu. Jadi, dia setuju atau tidak setuju dengan tindakan agensi itu, perlu tengok kes dahulu.
“Tetapi, untuk mengatakan semua kes yang diambil itu ada bermotif politik, maknanya tidak boleh tangkaplah. Maknanya kes rasuah yang besar lain kena lepas?,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Festival Taman Kuala Lumpur 2023 di Taman Tasik Titiwangsa, di sini, semalam.
Terdahulu, Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM semalam dan akan didakwa di mahkamah hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, beliau sering kali menjawab kenyataan balas pemimpin Bersatu apabila ada antara mereka disoal siasat SPRM agar melihat dahulu jenis kes yang dikaitkan.
Tambahnya, beliau juga masih belum tahu apa pertuduhan ke atas Muhyiddin apabila dipanggil SPRM semalam kerana ia merupakan urusan agensi tersebut.
“Saya mahu tegaskan semua orang yang mahu negara ini bersih daripada rasuah, harus lihat kes satu persatu sama ada benar ada pendakwaan politik yang disebut atau pun berdasarkan fakta.
“Bagaimanapun, apa yang saya sebut selama ini adalah mengenai kes berwibawa tebatan banjir yang dibuat berdasarkan dokumen Kementerian Kewangan, bukan SPRM atau Jabatan Peguam Negara,” ujarnya. – UTUSAN










