Anwar ingatkan Hadi jangan singgung kedudukan raja Melayu

Anwar ingatkan Hadi jangan singgung kedudukan raja Melayu

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya menjaga kata-kata dan tidak sekali-kali menyinggung kedudukan raja-raja Melayu.

Perdana Menteri berkata, ini terutama dalam soal berkaitan agama Islam kerana kuasa agama itu adalah di bawah bidang kuasa agama negeri-negeri dan raja-raja Melayu berkaitan isu larangan ahli-ahli politik berceramah agama di masjid-masjid dan surau-surau.

“Saya cuma nak ingatkan dalam kenyataan-kenyataan dia (Abdul Hadi) harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan raja-raja Melayu, kalau dibicara Perlembagaan Persekutuan sekali pun ada juga kaedah dia.

“Ini soal kebenaran di masjid, ini terpakai untuk semua. Termasuk Perdana Menteri. Kalau saya memilih untuk bersyarah rasmi masjid itu harus keluar kerana itu kuasa agama di negeri itu di bawah raja-raja, jadi kena faham,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau, sebaliknya, adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Ia susulan larangan terhadap semua ahli politik termasuk ahli parlimen, ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ahli Dewan Negara memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau di Terengganu, termasuk khutbah Jumaat.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu kenyataan berkata, larangan tersebut dibuat agar semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk tujuan politik kepartian.

Menurut Shaikh Harun arahan larangan tersebut dikeluarkan ekoran Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Bagaimanapun menurut Shaikh Harun, pengecualian diberikan kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu.

Dalam pada itu, Anwar berkata, adalah tidak wajar untuk menjadikan larangan ini sebagai agenda politik.

Justeru, kata beliau, sekiranya Abdul Hadi tidak bersetuju dengan larangan itu, maka adalah lebih baik beliau menghadap Sultan-sultan Melayu.

“Kalau dia tidak setuju dia boleh bawa ke persembahan Tuanku, jangan serang kami kerana saya pun tidak boleh sebagai Perdana Menteri tapi saya menghormati budaya itu.

“Saya mengelak daripada berucap di masjid kerana saya pergi ke masjid setiap jumaat, itu memang diminta oleh jawatankuasa masjid dan imam untuk menyampaikan sedikit tazkirah selepas Jumaat tapi menghormati arahan jabatan agama masing-masing, saya mengelak maka saya bersalaman sahaja,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya