Anwar bertemu rakan sekolah selepas 50 tahun - Utusan Malaysia

Anwar bertemu rakan sekolah selepas 50 tahun

ANWAR Ibrahim (kiri) menziarahi Ahmad Fawzi Shafii di Desa Seri Ampang, Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas lebih 50 tahun tidak bersua, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali bertemu rakan sekolahnya semasa menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Pertemuan Perdana Menteri dengan rakannya itu, Ahmad Fawzi Shafii, 75, berlangsung ceria apabila Ahli Parlimen Tambun itu bergurau dan mengusik sambil mengimbau ‘kenakalan’ mereka ketika bersekolah.

Anwar dan Ahmad Fawzi meninggalkan bangku sekolah pada tahun 1966 dengan kedua-dua mereka kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) pada 1967.

Anwar yang berbaju kemeja berwarna biru meluangkan masa kira-kira 20 minit, turut merakam gambar sebagai tanda kenang-kenangan.

Ahmad Fawzi yang juga pernah sebilik dengan Anwar ketika menuntut di UM didiagnosis sebagai penghidap skizofrenia dan kini terlantar di rumah sejak dua bulan lalu.

Menurut adik bongsu Ahmad Fawzi, Dr Jama’iyah, 62, dia dan keluarga gembira apabila dimaklumkan bahawa pemimpin negara itu akan datang ke rumah untuk menziarahi Ahmad Fawzi.

Malah katanya, abangnya itu juga amat terharu sehingga mengalirkan air mata ketika dimaklumkan mengenai kunjungan tersebut.

“Walaupun ingatannya tidak berapa kuat lagi kerana faktor usia, namun dia masih ingat kawan-kawan. 

“Ketika Presiden Alumni MCKK beritahu Anwar mahu datang ke rumah pun, dia menangis sebab terharu. Dia ketua kelas Anwar semasa di MCKK,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Seri Ampang di sini hari ini.

Terdahulu, Anwar dalam lawatannya ke Perak hadir ke Taman D. R Seenivasagam di sini bagi merasmikan Sambutan Hari Landskap Negara diikuti perasmian Sambutan Hari Air Sedunia 2023 di Stadium Indera Mulia.

Perdana Menteri kemudiannya turut menyempurnakan perasmian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun di Tambun. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN