PETALING JAYA: Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. menafikan pihaknya terlibat dengan isu penipuan umrah seperti dilaporkan oleh sebuah portal tempatan.
Sebaliknya, syarikat pengelola jemaah haji itu mendakwa portal itu menggunakan gambar jemaah Andalusia yang sedang menunggu penerbangan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tanpa izin.
Katanya, ia sekali gus mencemarkan reputasi dan nama baik perniagaan syarikat tersebut.
“Penggunaan gambar jemaah umrah dan beg-beg bagasi yang jelas menunjukkan nama Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. adalah suatu fitnah yang tiada kaitan dengan kandungan publikasi tersebut.
“Ia menimbulkan keresahan ke atas jemaah yang gambar mereka dipublikasikan tersebut serta bakal jemaah Andalusia yang lain yang masih menunggu tarikh penerbangan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Andalusia meminta portal tersebut menarik balik artikel itu dengan segera dan disertai dengan permohonan maaf secara terbuka dan wajib disiarkan dalam setiap platform publikasi berkaitan beserta penjelasan bahawa kandungan publikasi tersebut adalah langsung tiada kaitan dengan mereka.
“Andalusia juga menafikan laporan mengenai penipuan pakej umrah sehingga RM95,000 ada kaitan dengan mana-mana jemaah Andalusia dan bakal mengambil tindakan undang-undang tuntutan fitnah,” katanya. – UTUSAN