KUALA LUMPUR: Perkhidmatan air-ambulance atau ambulans udara akan diperkenal sekitar hujung tahun ini bagi memudahkan urusan menyelamat di kawasan pedalaman serta jalan raya.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu akan membantu kerajaan untuk berjimat kerana tidak menelan kos seperti amalan kerajaan terdahulu.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan bekerjasama dengan kementerian kesihatan memulakan satu lagi iisiatif baru iaitu menjelang akhir tahun ini kita akan wujudkan air-ambulance.
“Helikopter yang dimiliki JBPM boleh digunakan untuk menyelamatkan mangsa-mangsa di kawasan pedalaman termasuk juga di kawasan kemalangan atas lebuhraya. Sekiranya direalisasikan, ia akan menjadi menjimatkan duit sekurang-kurangnya, RM15 juta untuk setahun, dalam lima tahun RM75 juta akan dijimatkan.
“Amalan kerajaan terdahulu, duit itu outsource kepada pihak swasta maka duit itu setahun RM20 juta. JBP pula ambil RM15 juta sahaja. Ini adalah satu inisiatif menuju Malaysia Madani,” katanya dalam ucapan penggulungan peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat. – UTUSAN










