KEMAMAN: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman pada pemilihan UMNO bahagian itu, hari ini.
Ahmad, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal memenangi jawatan itu selepas mendapat sebanyak 401 undi.
Sementara itu, pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin yang merupakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian itu pula memperoleh 286 undi.
Ahmad yang juga merupakan calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman sejak tahun 2000.
Dalam pada itu, jawatan Timbalan Ketua Bahagian pula dimenangi Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dengan memperoleh 407 undian selepas mengetepikan Tuan Kechil Tuan Tengah yang mendapat 276 undi.
Sementara itu, Naib Ketua Bahagian Kemaman pula dimenangi Mohd. Hisham Zubir yang menewaskan Datuk Mustafa Ab. Rahman dengan majoriti 237 undi.
Mohd. Hisham mendapat 454 undi manakala pesaingnya, Mustafa pula memperoleh 217 undi. – UTUSAN










