KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke sambutan Hari Peringatan Polis Ke-216 pagi ini.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong ke istiadat perbarisan yang diadakan di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak merupakan kali pertama dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Seramai 102 anggota kawalan kehormatan dari Pasukan Simpanan Persekutuan PDRM terlibat dalam Istiadat Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-216 bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
Istiadat turut melibatkan persembahan pancaragam, lintas hormat tiga helikopter Pasukan Gerakan Udara jenis AS 355 dan AW 139, pentomin dan deklamasi sajak. – UTUSAN










