Agensi agama perlu lebih kreatif anjur program sempena Ramadan

Agensi agama perlu lebih kreatif anjur program sempena Ramadan

MOHD. Na'im Mokhtar (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan Wakaf Prihatin Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua agensi agama Islam di peringkat Persekutuan dan negeri perlu lebih kreatif dalam menganjurkan pelbagai program sempena Ramadan ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, program itu tidak semestinya berbentuk agihan bantuan sebaliknya boleh menawarkan perkhidmatan kaunseling dan konsultasi keluarga.

“Sebagai contoh, baru-baru ini saya melancarkan Program Konsultasi Guaman Syarie Percuma sempena Ramadan yang dianjurkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan ia ditawarkan secara percuma.

“Kreativiti bukan hanya program berbentuk agihan dan turun padang, sebaliknya boleh menawarkan khidmat konsultasi dan nasihat guaman,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Program Ihya’ Ramadan sepanjang bulan Ramadan ini diharap dapat memupuk semangat perpaduan, kerjasama, semangat kerja berpasukan dan mengeratkan ukhuwah sebagai sebuah masyarakat Malaysia Madani.

Menurutnya, beliau juga berharap pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini dapat melahirkan insan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial.

“Curahkanlah segala tenaga, masa dan wang ringgit dengan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan kita beroleh ganjaran yang dijanjikan Allah di akhirat kelak,” katanya.

Terdahulu, Mohd Na’im turut melancarkan Buku Ensiklopedia Ramadan yang diterbitkan hasil karya pegawai-pegawai Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah bimbingan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah.

Pada program sama, Mohd Na’im turut menyerahkan sumbangan Wakaf Prihatin Yayasan Waqaf Malaysia kepada Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berjumlah RM15,000.

Turut disampaikan sumbangan Program Singgah Sahur Yayasan Waqaf Malaysia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak dengan nilai sumbangan RM8,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.