Abai 5 ekor kucing sehingga mati kebulur, jurujual dipenjara 2 tahun, denda RM50,000 - Utusan Malaysia

Abai 5 ekor kucing sehingga mati kebulur, jurujual dipenjara 2 tahun, denda RM50,000

LIM Chia Lin dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan tidak menyediakan makanan kepada kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan lima ekor kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Menurut pertuduhan, tertuduh didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi sehingga menyebabkan haiwan peliharaan yang diletakkan dalam kurungan, mati dan bangkainya ditemukan kemudian.

Selaku pemilik atau penjaga kepada lima kucing berkenaan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara 14 Jun dan 3 Julai 2022 di sebuah unit kediaman yang disewanya di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk di kondominium tersebut bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Pengadu selanjutnya menasihati penyewa tersebut supaya membuang sangkar berkenaan bagi mengelakkan penduduk membuat aduan terhadapnya.

Fakta kes turut menyatakan, pada 13 Mac lalu, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah tersebut untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400.

Pengadu mendapati sangkar tersebut masih tidak dibuang manakala pintu rumah tidak berkunci menyebabkan mereka berdua memasukinya untuk membuat pemeriksaan.

“Pengadu mendapati bau busuk di bahagian dapur berpunca daripada daging kisar dalam baldi dan juga dalam peti ais manakala penyewanya sedang tidur dalam bilik,” demikian menurut fakta kes yang diakui tertuduh.

Chia Lin yang tidak diwakili peguam memohon denda dikurangkan kerana dia yang bekerja sebagai jurujual hanya berpendapatan RM1,500 sebulan.

Dalam rayuannya, lelaki itu memberi alasan bahawa ‘tong’ itu untuk menyimpan ayam perap namun penjelasannya itu dipintas oleh hakim berkenaan dengan menyatakan dia hanya boleh mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman.

“Tak kisahlah kucing perap ke ayam perap ke kerana kamu sudah mengaku bersalah terhadap pertuduhan. Kamu boleh merayu untuk meringankan hukuman sahaja,” ujar Siti Aminah.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon tertuduh dipenjarakan untuk tempoh yang panjang sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap haiwan peliharaan.

Beliau yang hadir bersama TPR Nurhani Mohmed Ayub berhujah, tertuduh pulang ke kampungnya di Sarawak selama sebulan bermula Jun 2022 tanpa menyediakan sebarang makanan dan minuman hingga kucing-kucing itu mati kebuluran.

Hujah pendakwaaan, lelaki itu sepatutnya menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi serta tempat yang selesa namun meninggalkan haiwan peliharaan tersebut `kering kontang’ tanpa belas kasihan.

Wan Ahmad Hakimi malah berhujah tertuduh tidak mengambil langkah proaktif untuk menanam bangkai sebaliknya membiarkannya begitu sahaja sehingga menimbulkan masalah bau busuk dalam kejiranan kondominium berkenaan.

Hujah beliau, pemeriksaan yang dilakukan oleh pemilik rumah dan pengawal keselamatan mendapati dua bekas mengandungi daging binatang yang telah busuk manakala bangkai kucing dibiarkan begitu sahaja.

“Bukan sahaja pencinta kucing, orang biasa pun akan merasa sedih melihat bangkai binatang dibiarkan begitu sahaja dalam keadaan menyayat hati,” ujar Wan Ahmad Hakimi.

Menurut laporan akhbar, lelaki itu ditahan tiga hari lalu ekoran penemuan puluhan bangkai dan rangka kucing di unit kondominium tersebut dan direman sehingga hari ini.

Perlakuan tidak berperikemanusiaan itu didedahkan oleh Persatuan Haiwan Malaysia (MAA) menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook persatuan tersebut.

Aduan itu kemudian dipanjangkan kepada Ketua Seksyen Lembaga Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya supaya satu siasatan dijalankan secara komprehensif, segera dan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya