Abai 5 ekor kucing: Jurujual dipenjara, denda - Utusan Malaysia

Abai 5 ekor kucing: Jurujual dipenjara, denda

LIM Chia Lin dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan tidak menyediakan makanan kepada kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan mengabaikan lima ekor kucing peliharaannya sehingga mati kebuluran.

Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhi hukuman itu terhadap Lim Chia Lin, 31, dan memerintahkannya dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa tidak menyediakan makanan dan minuman yang mencukupi sehingga menyebabkan haiwan peliharaan yang diletakkan dalam kurungan, mati dan bangkainya ditemukan kemudian.

Selaku pemilik atau penjaga kepada lima kucing berkenaan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara 14 Jun dan 3 Julai 2022 di sebuah unit kediaman yang disewanya di Bayu Tasik Condominium, Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini.

Pendakwaan dilakukan me­ngi­kut Seksyen 29(1)(D) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau ke­dua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu yang juga pemilik unit berkenaan menerima aduan daripada penduduk di kondominium tersebut bahawa rumah yang disewakannya kepada tertuduh berbau busuk seperti bangkai.

Pengadu kemudian memeriksa unit berkenaan dan mendapati beberapa bangkai kucing dalam sangkar yang diletakkan di luar rumah di sebelah pintu.

Fakta kes turut menyatakan, pada 13 Mac lalu, pengadu bersama pengawal keselamatan dan pengurus bangunan pergi ke rumah tersebut untuk meminta sewa bulanan yang tertunggak sebanyak RM1,400.

Pengadu mendapati sangkar tersebut masih tidak dibuang manakala pintu rumah tidak berkunci menyebabkan mereka berdua memasukinya untuk membuat pemeriksaan.

“Pengadu mendapati bau busuk di bahagian dapur berpunca daripada daging kisar dalam baldi dan juga dalam peti ais manakala penyewanya sedang tidur dalam bilik,’’ demikian menurut fakta kes yang diakui tertuduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya