KUALA LUMPUR: Seramai 369 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikerahkan membantu mangsa banjir yang melanda seluruh negara termasuk Johor sejak kelmarin.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pelbagai sumber tenaga manusia seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan beberapa pasukan penyelamat lain digerakkan dalam operasi menyelamat.
“Bagi PDRM, kita gerakkan 369 anggota untuk membantu meredakan kesulitan yang dihadapi (mangsa banjir) dan ini sebahagian daripada keseluruhan anggota yang terlibat.
“Balai Polis Chaah juga ditenggelami air ekoran banjir di Segamat. Sehubungan itu, operasi kepolisan di balai terbabit dihentikan sementara waktu sehingga pulih,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, di Bukit Aman, hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani turut menyifatkan banjir tersebut merupakan bencana alam yang terburuk berlaku di negeri itu pada tahun ini.
Menurut beliau, banjir tersebut turut mengakibatkan balai polis di Segamat hampir tenggelam manakala seramai 126 penduduk Kuarters Ibu pejabat Polis Daerah Segamat yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bagi Balai Polis Bahau, operasi di balai tersebut masih berjalan seperti biasa dan aktiviti kepolisan diteruskan,” katanya.
Terdahulu, seramai 33,149 penduduk dengan semua 10 daerah di Johor terjejas ekoran banjir buruk melanda di negeri itu.
Dalam majlis yang sama, Acryl Sani mengumumkan seramai 10,281 pegawai dan anggota telah dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM bagi tahun 2022.
“Anugerah ini merupakan manifestasi pengiktirafan kerajaan kepada penjawat awam yang telah mempamerkan mutu perkhidmatan yang cemerlang. Semoga pengiktirafan ini menjadi pembakar semangat kepada warga PDRM untuk terus berusaha dengan lebih gigih di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










