27 ahli sindiket edar dadah di sekitar Sentul ditahan

27 ahli sindiket edar dadah di sekitar Sentul ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis membongkar sindiket pengedaran dadah dengan menahan 27 individu dalam serbuan di empat kediaman di sebuah flat di Jinjang Baru, Sentul di sini.

Malah, kira-kira 19 daripada suspek cuba melarikan diri dengan memanjat bumbung melalui tingkap flat berkenaan namun gagal apabila diberkas polis.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, serbuan di premis itu susulan risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Sentul terhadap sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul.

Katanya, polis melancarkan operasi itu bermula 5 pagi ini dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan itu, kami menahan sembilan lelaki dan seorang wanita mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana disyaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil serbuan di kawasan itu juga membawa kepada penahanan seorang lelaki di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dua lelaki di bawah Seksyen 39A(1), 13 lelaki di bawah Seksyen 12 (2) dan seorang lelaki di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Semua 27 warga tempatan itu berusia antara 23 tahun hingga 40 tahun, dibawa ke Pejabat BSJND Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan lanjut,” katanya.

Yahaya berkata, cubaan 19 individu lari menerusi bumbung dapat dipatahkan selain meminta bantuan bomba untuk memotong pintu empat rumah suspek di tingkat empat flat berkenaan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pengedaran dadah.

Katanya, polis turut merampas dadah jenis methaphetamin seberat 59.44 gram dianggarkan bernilai RM5,944 serta rampasan lain termasuk dua kereta Perodua Myvi, motorsikal Yamaha Y15, barang kemas, seutas jam tangan dan wang tunai berjumlah RM603.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

“Malah, semakan dilakukan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan akan direman esok,” ujarya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39(A)(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama, selain Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 dan Bahagian III Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenal pasti ahli sindiket yang terbabit dan sumber bekalan diperoleh.

“Dengan penahanan serta rampasan dalam operasi ini, kita berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di kawasan Sentul sejak enam bulan lalu,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya