PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus daripada 300,000 pekerja kontrak di sekolah dan hospital di seluruh negara didakwa masih tidak menerima kadar gaji minimum RM1,500 yang dikuatkuasakan sejak 1 Mei tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Nasional Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), M. Sivaranjani berkata, mereka yang terdiri daripada pekerja kontrak pembersihan dan pengawal keselamatan itu melibatkan kakitangan daripada 174 syarikat atau kontraktor yang masih menganiaya pekerja.
Kata beliau, isu berkaitan ketidakpatuhan gaji minimum dalam kalangan pekerja kontrak itu sudah dibawa ke pelbagai peringkat, namun seolah-olah ‘ditendang ke sana dan ke mari’ oleh pihak bertanggungjawab.
“Kontraktor sebelum ini beri alasan tak boleh laksanakan gaji minimum RM1,500 sebab tak terima lagi bajet daripada Kementerian Kewangan. Kita sudah hantar surat kepada Kementerian Kewangan tanya kenapa mereka tak keluarkan duit tambahan kepada kontraktor.
“Kementerian Kewangan kata mereka sudah bayar dan apabila kami persoalkan, mereka minta hantar senarai syarikat yang tidak laksanakan kadar gaji minimum itu. Jadi kita sudah hantar dua senarai yang mana senarai pertama melibatkan 127 syarikat dan senarai kedua lebih kurang 47 syarikat, tetapi belum terima apa-apa perkembangan.
“Kita juga pernah bawa isu ini kepada Kementerian Sumber Manusia, tetapi mereka minta pekerja kemukakan tuntutan, cuma pekerja boleh dibuang kerja apabila tuntutan dikemukakan dan itu memang berlaku sekarang ini.
“Jadi isu ini macam tendang sana sini semua orang di atas macam main bola passing sana sini, tapi akhirnya pekerja yang B40 ini jadi mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sivaranjani berkata, satu lagi isu yang membelenggu kalangan pekerja keselamatan kontrak di bangunan kerajaan adalah apabila upah kerja lebih masa tidak berubah selari dengan Perintah Gaji Minimum 2022.
Katanya, ini kerana majikan didakwa memberi alasan kadar upah baharu itu terlalu tinggi.
“Jadi mereka manipulasikan pekerja dalam pengiraan gaji. Mereka bagi kadar RM1,500 tetapi upah kerja lebih masa masih ditakuk lama, sedangkan ia kadar upah itu patut sudah berubah.
“Ada syarikat bagi gaji sekali gus RM1,800 tetapi tak mau ikut kadar upah kerja lebih masa dalam peraturan baharu ini. Sedangkan, kadar upah kerja lebih masa hari biasa, cuti rehat dan cuti am semua lain, tetapi cuma bagi jumlah kasar saja.
Justeru, beliau menyarankan Jabatan Tenaga Kerja melakukan penguatkuasaan dalam kalangan pekerja kontrak kerana mereka bimbang untuk dikenakan tindakan sekiranya membuat aduan.
“Sebelum ini kita pernah tanya pada Jabatan Tenaga Kerja sama ada mereka siasat atau buat penguatkuasaan, tetapi alasan mereka pegawai penguat kuasa sangat kurang.
“Jadi pekerja kontrak tak menikmati pelaksanaan undang-undang baharu sedangkan kadar gaji minimum itu dinaikkan untuk bantu golongan miskin, tetapi mereka yang memerlukan itu tidak dapat manfaat daripada peraturan itu,” ujarnya.
Sementara itu, selain pekerja di sekolah dan hospital, Setiausaha Agung Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, pekerja kontrak di semua lebuh raya juga dikesan dianiaya dengan kadar gaji minimum yang sepatutnya.
“Sudah 10 bulan perintah itu dikuatkuasakan, tetapi pekerja kontrak di beberapa sekolah dan di lebuh raya belum menikmati kadar gaji minimum. Alasan katanya sebab kontrak belum tamat, jadi mereka guna kontrak yang belum diubah selari dengan perintah itu.
“Pekerja kontrak konsesi tidak ada masalah sebab mereka ada dana besar, tetapi kontraktor kecil (menerima projek atau dana daripada kerajaan) itu yang ada masalah pembayaran selari dengan kadar gaji minimum,” katanya. – UTUSAN











