2,000 dapatkan rawatan mental setiap tahun - Utusan Malaysia

2,000 dapatkan rawatan mental setiap tahun

DR. FARIZA Yahya (kiri) bergambar bersama pesakit (kanan) yang menjalani pemulihan pada majlis pelancaran Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. – UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zai­nab II (HRPZ II) di sini menerima lebih 2,000 kes baharu melibatkan pesakit mental yang hadir untuk menerima rawatan setiap tahun.

Ketua Jabatan Psikiatri HRPZ II, Dr. Fariza Yahya berkata, jabatan tersebut menerima pesakit paling muda berusia 13 tahun yang mempunyai masalah mental.

Menurutnya, kebanyakan remaja yang mempunyai masalah mental berpunca daripada kea­daan persekitaran termasuk keluarga yang berpecah-belah, ibu bapa yang merupakan penagih dadah dan pelbagai faktor lain.

“Masalah ini berlaku apabila mereka berada dalam keadaan memendam perasaan, kurang perhatian dan kasih sayang.

“Selain itu, individu dalam kalangan masyarakat kita juga lebih percaya kepada perubatan tradisional atau bomoh sehingga menyebabkan masih ramai pesakit mental tidak menerima rawatan awal di hospital,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) Ketereh di sini semalam.

Dr. Fariza memberitahu, ra­watan awal amat penting kepada pesakit mental kerana ia mampu memulihkan penyakit itu 100 peratus berbanding mereka yang lambat dirawat.

Katanya, pesakit tidak akan pulih sepenuhnya dan hanya sembuh sekitar 70 hingga 80 peratus sekiranya pesakit lewat menerima rawatan.

“Kebanyakan pesakit mental mendapatkan rawatan selepas dua tahun kerana mereka lebih percaya kepada rawatan tradisional atau bomoh terlebih dahulu.

“Apabila mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan rawatan dan dibiarkan berterusan, ia akan menyebabkan berlakunya kemerosotan dari segi semua fungsi termasuk pemikiran, cara selain perwatakan pesakit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN