133,919 ditahan, dadah termasuk ketum bernilai RM113.7 juta dirampas

133,919 ditahan, dadah termasuk ketum bernilai RM113.7 juta dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 134,919 orang diberkas polis dalam tempoh dua bulan bermula Januari lalu di seluruh negara atas kesalahan dadah dan ketum. 

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Akta Racun 1952 dan Akta Penagih Dadah 1983. 

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 38 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.

“JSJN merampas sebanyak 4,946 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah dan 944 liter cecair dadah selain 19,273 kg daun ketum serta 13,781 liter air ketum  yang membawa nilai rampasan sebanyak RM 113.7 juta.

“Sebanyak 77 sindiket yang melibatkan 231 oran diberkas serta tiga buah makmal dadah haram dibongkar dengan penahanan tiga ahli kimia,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh itu, sebanyak 14,010 kertas siasatan dibuka dan daripada jumlah tersebut sebanyak 11,480 kertas siasatan dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 81.9 peratus.

Katanya, bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah, pelbagai aset sindiket dadah bernilai RM16 juta telah disita manakala sebanyak RM1.2 juta nilai harta yang telah dilucut hak.

“Terdapat dua kes menarik dalam tempoh tersebut iaitu pada 19 Februari membabitkan tangkapan ke atas lima individu di Simpang Empat, Perlis dengan rampasan 1,800 kg dadah jenis syabu bernilai RM64.8 juta. 

“Pada 28 Februari, JSJN berjaya menahan dua individu di sekitar Rawang, Selangor serta merampas 451 kg dadah jenis syabu yang bernilai RM14.9 juta,” ujarnya.

Katanya, bagi mempergiat tindakan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah, JSJN telah melancarkan Op Tapis Khas siri 2 bermula 27 Februari hingga 1 Mac lalu  di seluruh negara dengan menyasarkan kawasan sarang penagih, penempatan Felda, kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) serta lokasi aktif yang menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah. 

Ujarnya, sepanjang operasi itu, seramai 4,244 ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 477 tokan. 

“Sebanyak 557 kg dan 13,803 liter pelbagai jenis dadah telah berjaya dirampas dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM701,000,” katanya.

Kata JSJN lagi, pihaknya turut menahan 1,407 penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Tegasnya, JSJN juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjawat awam yang terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah apabila seramai 168 orang penjawat awam  ditangkap.

“Dua orang daripadanya yang ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB LLPK 1985,” jelasnya.

Justeru, JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah untuk salurkan ke Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN