Warisan tidak kecewa tiada dalam kerajaan perpaduan di Sabah

Warisan tidak kecewa tiada dalam kerajaan perpaduan di Sabah

JAUJAN SAMBAKONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) sedikit pun tidak rasa kecewa apabila tidak termasuk dalam Kabinet Negeri Sabah yang baharu.

Naib Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan sedia untuk berkhidmat kepada rakyat sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

“Di mana pun kita berada, kita akan terus laksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat kerana pilihan raya telahpun diadakan. Kalau itu keputusan rakyat, kita kena akur, jangan paksa benda yang boleh memudratkan kestabilan politik di Sabah.

“Cuma kita berharap Perlembagaan Negeri dan nasihat Perdana Menteri itu harus dipatuhi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, semua orang dengar dan faham saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan pembentukan kerajaan perpaduan di Sabah mengambil kira semua parti-parti yang ada.

ADUN Sulabayan itu berkata, perkara sebegitu yang diharapkan dapat dilakukan di Sabah tapi, sekiranya ia tidak diambil perhatian maknanya, kemelut politik Sabah tidak akan reda.

“Perkara ini tidak akan dapat diselesaikan dimana-mana pun, tidak semudah itu. Sekurang-kurangnya telah dicadangkan satu pendekatan (kerajaan perpaduan) maka, demi kebaikan Sabah dan rakyat negeri ini, konsep perpaduan itu perlu diwujudkan seperti saranan Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Jaujan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya memperoleh bilangan kerusi yang sedikit namun, Warisan tidak membuat kecoh.

Beliau berkata, Warisan menghormati apa yang telah diputuskan biarpun dalam Perlembagaan Negeri cukup kelas menyatakan parti yang memperoleh lebih banyak kerusi, presiden parti itu yang akan diangkat menjadi Ketua Menteri.

“Tapi sebab kita hormat keputusan kerajaan Pusat, kita akur dan tidak buat hal susulan keadaan yang berlaku ketika itu.

“Namun, kerajaan hari ini tidak mengendahkan saranan untuk libatkan semua parti dalam kerajaan perpaduan termasuk UMNO, Warisan mahupun Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

“Jika itulah pendekatan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor maka terserah kepada dia,” katanya.- UTUSAN

 

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.