Warga emas, dua anak OKU tidak lagi basah ketika hujan

Warga emas, dua anak OKU tidak lagi basah ketika hujan

NGEH Koo Ham (enam dari kanan) bersama Lau Choon Hu (lima dari kanan) bergambar di depan rumah baharu bantuan kerajaan di Pekan Gurney, Sitiawan, Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Sejak kira-kira lima tahun lalu, Lau Choon Hu, 64, tinggal di sebuah rumah papan yang usang dan hampir roboh bersama dua anaknya yang dikategorikan orang kurang upaya (OKU) di Pekan Gurney, Sitiawan, dekat sini.

Rumah beratap zink itu juga bocor di sana sini menyebabkan tiga beranak itu sering kebasahan manakala ruang dalamnya mengalami masalah air bertakung setiap kali hujan lebat.

Berikutan itu, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham menggunakan peruntukan disediakan kerajaan untuk kawasan parlimennya bagi membina rumah baharu untuk keluarga tersebut di tapak asal.

Menurut Choon Hu, projek pembinaan rumah setingkat tiga bilik bernilai RM70,000 itu bermula pada 21 Disember tahun lalu dan siap minggu lepas.

“Sebelum ini setiap kali hujan lebat, rumah pusaka yang diwarisi daripada moyang saya ini selalu banjir dan kami mesti basah sebab bumbung ada banyak lubang,” katanya yang sudah berhenti kerja sebagai tukang bina kubur Cina, sejak kira-kira setahun lalu akibat uzur.

Kini, beliau bersama dua anaknya yang juga tidak bekerja hanya mengharapkan bantuan kewangan daripada seorang lagi anaknya yang kini bekerja di ibu negara, selain masih menunggu kelulusan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dimohon sebelum ini.

Koo Ham pula mengucapkan terima kasih kepada kontraktor, Shamsul Halim, yang menyiapkan rumah itu dengan kelengkapan seperti siling berplaster; lantai, dinding bilik air dan singki berjubin dan 10 soket elektrik termasuk dua soket di setiap bilik pada harga RM70,000.

Jelasnya, ini adalah satu-satunya rumah dibina baharu dalam kawasan parlimennya memandangkan keadaan rumah yang terlalu uzur untuk dibaiki, menggunakan peruntukan kerajaan tahun lalu.

Beliau juga memaklumkan, sepanjang tahun lalu sebanyak 10 rumah penduduk di Pantai Remis, Beruas, Ayer Tawar dan Changkat Cermin dibaiki menggunakan peruntukan kerajaan sebanyak RM245,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN