Wakil Tetap Malaysia ke PBB Geneva berpindah ke New York

Wakil Tetap Malaysia ke PBB Geneva berpindah ke New York

AHMAD FAISAL MUHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setelah hampir empat tahun di Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Geneva, Datuk Dr. Ahmad Faisal Muhamad berpindah ke ibu pejabat induk badan dunia tersebut di New York, Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sudah menyerahkan surat pelantikan rasmi beliau sebagai Wakil Tetap Malaysia yang baharu ke ibu pejabat PBB itu.

Ahmad Faisal yang dilahirkan pada 24 Mei 1970 lalu di Kelantan, berkhidmat memimpin delegasi Malaysia di pejabat PBB di bandar Switzerland tersebut sejak 3 September 2019.

Geneva merupakan antara empat lokasi yang menempatkan pejabat PBB serta 26 agensi utama badan itu selain di Vienna, Austria; Nairobi, Kenya dan sekretariatnya di New York.

Beliau berkelulusan doktor falsafah bidang Hubungan Antarabangsa di London School of Economics and Political Sciences di Britain dan menyertai Wisma Putra pada 1994.

Bermula sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Ahmad Faisal bertugas di pejabat perwakilan Malaysia di Singapura dan Rusia serta Duta Besar ke Myanmar hingga 2014.

Selepas itu, beliau pernah juga memegang jawatan sebagai Penasihat dan Pengarah di Bahagian Hubungan Antarabangsa, Pejabat Perdana Menteri dari 2014 sehingga 2018 lalu.

Selain itu, beliau pernah dilantik untuk pelbagai jawatan antaranya ialah Timbalan Ketua Setiausaha Tugas Khas, Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Dasar dan Penyelarasan.

Sebelum ke Geneva, beliau berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Penyelidikan, Triti dan Perundangan Antarabangsa serta Pegawai Khas Ketua Setiausaha Kementerian Luar.

Ahmad Faisal bakal menggantikan kekosongan tempat ditinggalkan oleh Datuk Syed Hasni Md. Hasrin Aidid Tengku Hussain yang dilantik menjadi Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Wisma Putra juga mengumumkan pelantikan Nur Izzah Wong Mee Choo sebagai Wakil Tetap Malaysia baharu ke ASEAN di sekretariat badan serantau tersebut di Jakarta, Indonesia.

Beliau yang ketika ini berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand sejak 2018 lalu, bakal mengisi tempat yang sebelum itu disandang oleh Kamsiah Kamaruddin.

Berkelulusan sarjana bidang Strategi dan Diplomasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau menyertai Wisma Putra sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1996 lepas.

Nur Izzah turut pernah memegang jawatan selaku Setiausaha Bahagian Inspektorat serta ditugaskan di Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala, Bahagian Asia Timur dan Asia Selatan.

Selain itu, beliau berkhidmat di Bahagian Penerangan dan Bahagian ASEAN serta pernah bertugas di Kedutaan Besar di Beijing, China sebelum ke Wellington, New Zealand. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya