Tuntutan kumpulan Sulu tiada asas, merit - Utusan Malaysia

Tuntutan kumpulan Sulu tiada asas, merit

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menegaskan mana-mana tuntutan kumpulan Sulu untuk menguatkuasakan award termasuk preliminary award dan final award di pelbagai bidang kuasa tidak mempunyai asas perundangan yang kukuh dan bermerit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan Mahkamah Madrid pada 2021 untuk membatalkan pelantikan penimbang tara antarabangsa, Dr. Gonzalo Stampa dan semua tindakan bersifat prosedur dibuatnya jelas sekali gus preliminary award diberikan adalah tidak diiktiraf.

“Kedua, kes ini merupakan kes luar biasa melibatkan aspek kedaulatan negara dan prosiding timbang tara tidak berbangkit.

“Ketiga, award yang dikeluarkan telah melanggar prinsip polisi awam antarabangsa khususnya melibatkan imuniti diplomatik Malaysia dan imuniti bidang kuasa serta kedaulatan,” katanya semasa membuat kenyataan menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (r) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilapor menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Proses timbang tara itu dimulakan sebagai tindak balas kepada tindakan Malaysia memotong pembayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 kepada kesultanan Sulu pada 2013.

Dalam pada itu, Azalina memaklumkan Jemaah Menteri pada 17 Februari bersetuju supaya satu Sekretariat Khas diwujudkan sebagai satu pusat bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu untuk memastikan perbincangan dan penyelarasan tugasan yang lebih teratur, sistematik dan melibatkan semua pihak berkaitan isu ini.

“Sekretariat Khas ini dipengerusikan oleh saya dengan Timbalan Pengerusi adalah Peguam Cara Negara II, ataupun seorang penggantinya. Keahlian lain terdiri daripada Kementerian Luar Negeri; Kementerian Komunikasi dan Digital; Majlis Keselamatan Negara dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Peguam Besar Sabah dan pakar-pakar perundangan tempatan.

“Selain itu, satu war room dibangunkan bagi memastikan semua tindakan diambil sentiasa dipantau dan mendapat sokongan tuntas. Tujuan utama war room ini adalah bagi memberi khidmat sokongan kepada Sekretariat Khas serta memantau kes perundangan, kenyataan-kenyataan media antarabangsa serta strategi global bagi isu menangani tuntutan waris Sulu ini,” katanya.

Azalina menambah, walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol telah memihak kepada Malaysia namun penuntut masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award.

“Oleh yang demikian, Malaysia juga telah mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahan kedudukan dan pendirian Malaysia dalam mencabar tuntutan penuntut yang telah difailkan di Perancis,” jelasnya.

Beliau memberitahu, lanjutan daripada final award tersebut, bermula pelbagai permohonan tindakan penguatkuasaan oleh penuntut di Mahkamah Luxembourg dan Belanda dengan perkara itu dijangka tidak akan berhenti sehingga satu tindakan dan strategi mutlak diambil oleh kerajaan.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan dibuat oleh penuntut dan sentiasa komited setelah tindakan itu telah mengganggu gugat kepentingan aset-aset di luar negara.

Azalina juga memaklumkan setakat ini, kerajaan Malaysia telah melantik peguam-peguam antarabangsa untuk mewakili Malaysia dalam prosiding mahkamah di negara-negara berkenaan.

“Tetuan Slaughter & May di United Kingdom, Tetuan Chaffetz Lindsey LLP di Amerika Syarikat dan Tetuan Allen & Gledhill di Singapura bertindak sebagai firma guaman yang akan menasihati dan mengendalikan kes untuk mencabar pengiktirafan dan penguatkuasaan final award oleh penuntut bagi kerajaan Malaysia sebagai persediaan awal untuk sebarang tuntutan daripada penuntut di negara-negara berkenaan,” katanya.

Azalina memberitahu kerajaan Malaysia tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan termasuk memfokus kepada keutamaan melindungi aset negara daripada ancaman mana-mana pihak luar.

Jelasnya, pihak kerajaan juga tidak akan berhenti berusaha melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia pada setiap masa dan terus mengambil segala tindakan perlu bagi menghentikan tuntutan kumpulan Sulu dengan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya