Tun M, Muhyiddin diarah fail pembelaan sebelum akhir bulan ini - Utusan Malaysia

Tun M, Muhyiddin diarah fail pembelaan sebelum akhir bulan ini

PADA 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga pihak lain diarah oleh Mahkamah Tinggi di sini memfailkan pernyataan pembelaan berkaitan saman yang difailkan seorang individu, selewat-lewatnya 28 Februari ini.

Saman itu difailkan oleh Mohd. Hatta Sanuri, 47, terhadap kelima-lima defendan berhubung dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Selain Dr. Mahathir dan Muhyiddin, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan kerajaan.

Peguam Mohaji Selamat yang mewakili Mohd. Hatta selaku plaintif berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 28 Mac ini.

“Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 30 Mac ini,” katanya kepada wakil media selepas pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar secara dalam talian hari ini.

Tindakan saman itu difailkan Mohd. Hatta pada 30 Disember 2022, mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh kesemua defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd. Hatta selaku plaintif mendakwa Dr. Mahathir yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh telah melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek tersebut sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Selain itu, Mohd. Hatta mendakwa Ka Siong juga cuai semasa menguruskan projek tersebut yang merupakan pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24 kepada rakyat Malaysia.

Dakwanya, tindakan itu sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya