THT catat kemenangan tipis 2-1 ke atas Young Tigers - Utusan Malaysia

THT catat kemenangan tipis 2-1 ke atas Young Tigers

PEMAIN THT, Syaman Mat Tee (dua, kanan) diasak oleh dua pemain Young Tigers pada aksi MHL  2023 di Stadium Hoki MBKT, Kuala Terengganu, petang tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Young Tigers pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, petang tadi.

Awal permainan berlangsung rancak dengan tuan rumah mula mendahului menerusi pukulan sudut penalti bintang Korea Selatan, Jang Jonghyun pada minit kedua.

Hanya enam minit kemudian, pemain kebangsaan, Muhammad Marhan Jalil melebarkan jaringan THT selepas menyambar umpanan Akhimullah Anuar Esook.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan Young Tigers, Perabu Tangaraja menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit kesembilan untuk menjadikan kedudukan 1-2.

Aksi selepas rehat makin sengit dan THT berpeluang menambah jaringan namun penyerang sensasi, Faizal Saari (m-38) mensia-siakan gerakan ketua pasukan, Mohd. Fitri Saari.

Kesempatan itu digunakan Young Tigers untuk memburu gol penyaman malangnya penjaga gol THT, Muhammad Hafizuddin Othman cekap menafikan percubaan padu Hazreeq Alief Rosli minit ke-44.

THT yang kehilangan rentak terus diuji mujur ketangkasan Hafizuddin menepis pukulan sudut penalti Tangaraja dua minit sebelum tamat mengekalkan kedudukan 2-1 memihak tuan rumah.

Kemenangan itu sudah memadai buat THT meraih kemenangan keenam dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) dan mengutip 19 mata manakala Young Tigers dengan 12 mata daripada tujuh perlawanan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya