Terengganu mahu tarik pelaburan dalam bidang pembuatan, farmaseutikal  - Utusan Malaysia

Terengganu mahu tarik pelaburan dalam bidang pembuatan, farmaseutikal 

AHMAD Samsuri (tiga, kiri) meneliti tesis kajian penyelidikan PhD seorang pelajar yang menerima biasiswa Yayasan Terengganu pada majlis 'Meet & Greet' di Kuala Terengganu, hari inI. - UTUSAN/KAMALIZA KAMAARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan Terengganu mahu menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang pembuatan dan farmaseutikal di negeri ini dengan mengikut delegasi Malaysia ke luar negara dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun dua pelaburan dalam dua bidang tersebut sudah beroperasi di Terengganu, namun ia kurang diberi tumpuan selama ini dan boleh dipertingkatkan lagi.

“Semalam, ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau ada maklumkan akan mewakili MITI untuk misi pelaburan ke negara-negara tertentu. 

“Saya dimaklumkan mungkin akan dijemput wakil negeri-negeri untuk turut serta dalam misi tersebut dan kita tunggu sahaja makluman seterusnya daripada kementerian.

“Dalam perjumpaan itu juga, kita berbincang bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Terengganu dan fokus perlu diberi selain industri petroleum dan gas agar terdapat lebih banyak kepelbagaian industri di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas beramah mesra bersama penerima biasiswa Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) tajaan Yayasan Terengganu pada majlis ‘Meet & Greet’ di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pada tahun ini, Ahmad Samsuri memberitahu, Terengganu dijangka menerima pelaburan sebanyak RM5 bilion hasil beberapa  perundingan positif yang telah dijalankan dengan beberapa pelabur dari luar negara.

Pada tahun lepas pula, tambahnya, Terengganu berjaya memperoleh sebanyak RM3.7 bilion nilai pelaburan dengan menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 4,051 kepada rakyat tempatan.

“Antara sektor pelaburan yang diperoleh adalah industri produk berasaskan besi, pembinaan awam, pelancongan, perlombongan, tenaga hijau, logistik, produk kimia, perkhidmatan dan produk kayu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.