Terengganu bubar DUN sebelum Julai - Utusan Malaysia

Terengganu bubar DUN sebelum Julai

AHMAD Samsuri Mokhtar (lima, kiri) bergambar bersama pelajar yang menerima anugerah kecemerlangan daripada Yayasan Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Kerajaan negeri Terengganu akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum Julai depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini kerana tempoh penggal DUN Terengganu akan berakhir pada 30 Jun.

Menurutnya, hasil perbincangan dalaman Pas juga memutuskan tiada keperluan untuk Terengganu membubarkan DUN lebih awal.

“Jadi kita tunggu dululah, kalau perlu, tunggu habis penggal (30 Jun depan),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah pingat emas Yayasan Terengganu 2022 dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2021 serta Anugerah Sarjana Terengganu 2020/2021 di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, perbincangan tidak rasmi bersama seorang Menteri Besar juga bersetuju agar PRN untuk enam negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) diadakan serentak bagi memudahkan pengundi menjalankan tanggungjawab mereka.

“Saya ada bertemu dengan salah seorang Menteri Besar di Kuala Lumpur semalam, saya tak nak sebutlah (siapa).

“Kami bersetuju supaya kesemua lima Menteri Besar dan seorang Ketua Menteriduduk kembali (berbincang) ketika tempoh Majlis Mesyuarat Raja-Raja pada minggu hadapan.

“Kebetulan, kami semua ada di Kuala Lumpur ketika itu, jadi kami akan berjumpa balik dalam tempoh tersebut yang akan bermula hari Isnin hingga Khamis (untuk membincangkan kesesuaian tarikh PRN secara serentak untuk enam negeri),” katanya.

Ahmad Samsuri menegaskan, kesemua pemimpin politik di enam negeri tersebut akan cuba mencari jalan terbaik untuk semua pihak sekaligus memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pembubaran daripada enam negeri ini boleh jadi berbagai tarikh tapi yang penting ialah SPR bermesyuarat untuk menentukan tarikh yang paling sesuai (penamaan calon, mengundi awal dan tarikh pengundian),” katanya.

Enam negeri tersebut yang akan terlibat dalam PRN ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, perbincangan agihan  kerusi untuk PN yang dijadualkan berlangsung pada 7 Februari lepas terpaksa ditangguhkan.

“Kita akan bermesyuarat semula untuk membincangkan perkara itu dalam tempoh dua minggu lagi (agihan kerusi parti komponen PN).

“Walaupun begitu saya ada bertemu dan berbincang juga dengan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk berbincang mengenai prinsip-prinsip atau dasar dalam perundingan kerusi ini.

“Jadi kami akan berjumpa lagi dalam kalangan pemimpin PN untuk membincangkan perinciannya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya