Tambah lorong atasi kesesakan di Padang Besar - Utusan Malaysia

Tambah lorong atasi kesesakan di Padang Besar

IZIZAM Ibrahim (kanan) turun padang bagi meninjau laluan di sekitar Bulatan Padang Besar, Perlis yang sering kali sesak dengan kenderaan pengunjung sewaktu cuti persekolahan dan hujung minggu. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas di sekitar Padang Besar, kerajaan negeri bakal mengambil inisiatif menambah lorong laluan bagi kenderaan ke arked niaga Padang Besar dan Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) di sini.

Buat masa ini, laluan tersebut mempunyai dua lorong laluan dan sering kali sesak khususnya ketika cuti persekolahan dan hujung minggu berikutan pertambahan sehingga 5,000 buah kenderaan pada waktu berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana negeri, Izizam Ibrahim berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah bersetuju dengan pelaksanaan itu dan perincian berhubung perkara tersebut sedang dilakukan bagi memulakan proses penambahbaikan berkenaan.

“Isu kesesakan lalu lintas ini bukannya permasalahan baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama sehingga mengundang keresahan buat penduduk setempat.

“Pada hujung minggu, kesesakan di laluan ini kebiasaannya adalah sejauh kira-kira empat kilometer dan menyukarkan pengguna lalu lintas yang datang ke sini,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Izizam berkata, kerajaan negeri turut bercadang menyediakan ruang parkir kenderaan buat pengunjung yang ingin ke arked niaga Padang Besar di sekitar kawasan padang awam berhampiran pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sini sebagai langkah alternatif dalam mengatasi isu kesesakan lalu lintas pada waktu puncak.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi berkata, pengunjung yang memakirkan kenderaan mereka di padang awam itu juga boleh menggunakan perkhidmatan bas shuttle untuk ke Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar atau arked niaga di sini.

“Ini merupakan langkah alternatif yang akan dilaksanakan kerajaan negeri sekiranya lalu lintas ke lokasi tumpuan pelancong itu sesak pada waktu puncak dalam memberi keselesaan dan kemudahan buat pihak terlibat,” katanya.

Tambahnya, inisiatif itu akan digerakkan secepat mungkin dan dijangka bakal dimulakan pelaksanaannya dalam tempoh satu bulan lagi.

“Sekiranya pelaksanaan ini dapat dijayakan, isu kesesakan di sini dijangka dapat dikurangkan berikutan terdapat dua lorong kenderaan menuju ke Kompleks ICQS Padang Besar manakala satu lorong lagi ke arked niaga Padang Besar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya