Sumbangan, elaun ATM bantu veteran teruskan hidup - Utusan Malaysia

Sumbangan, elaun ATM bantu veteran teruskan hidup

NGADI Tankar (tengah) berbual bersama Sharuddin Omar (kiri) sambil diperhatikan Abdul Roup Awang (kanan, duduk) pada Majlis Penyerahan Zakat Waqalah BPB kepada golongan asnaf veteran ATM di Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Veteran asnaf Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menzahirkan rasa syukur dan terharu kerana masih diingati selepas menerima sumbangan zakat waqalah Boustead Plantations Berhad (BPB).

Bekas veteran Batalion Ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Ngadi Tankar, 72, berkata, selepas menamatkan perkhidmatan pada 1980, dia meneruskan kehidupan dengan menjadi mekanik kenderaan di Sungai Ara, George Town dekat sini.

“Semasa berkhidmat di dalam ATM, saya berada di dalam Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja (KJLJD) selama 10 tahun sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1980 dan membuka sebuah bengkel kenderaan di Sungai Ara.

“Malangnya, ekoran terlibat dalam kemalangan pada 2011 memaksa saya menutup bengkel,” katanya kepada pada Majlis Penyerahan Zakat Waqalah BPB kepada golongan asnaf veteran ATM, di sini semalam.

Ngadi yang mengalami masalah pendengaran, lutut dan kaki bengkak berkata, selepas kehilangan mata pencarian, dia bergantung kehidupan kepada isteri, Halimah Harun, 65, yang ketika itu bekerja di sektor swasta.

“Disebabkan kami perlu sara kehidupan bersama empat anak, isteri memohon bantuan ATM bagi pihak saya dan Alhamdulillah, ATM cakna situasi saya seterusnya menyumbangkan sebanyak RM300 sebulan bermula 2019,” katanya yang merupakan salah seorang 150 penerima zakat waqalah PVATM Pulau Pinang.

Sementara itu, Ketua Unit Perniagaan Zon Utara BPB, Abdul Roup Awang berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan beban kos sara hidup yang dialami warga veteran serta balu ATM yang daif.

“Program ini bermula tahun lalu di Tawau, Semporna dan Sandakan, Sabah manakala tahun ini pula di Sarawak dan Perlis serta Pulau Pinang.

“Program yang akan datang akan diumumkan oleh BPB dalam waktu yang terdekat,” katanya sambil menambah program tersebut diteruskan di Melaka dalam masa terdekat.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar dan Yang Dipertua PVATM Pulau Pinang, Mohamad Saufee Hasan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.