KOTA KINABALU: Walaupun UMNO Sabah mahu tindakan dikenakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO namun, segala keputusan terserah kepada lembaga disiplin.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kepimpinan UMNO Sabah mengkehendaki lima ADUN UMNO yang menyokong Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dikenakan tindakan.
Namun, perkara ini harus dibawa kepada lembaga disiplin untuk menilai dan seterusnya keputusan itu akan dibuat oleh mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
“Jadi kita ikutlah peraturan, apa juga keputusan yang akan dimaklumkan nanti, kita terima,” katanya selepas program kesedaran keselamatan jalan raya sempena perayaan Tahun Baharu Cina, di Tanjung Dumpil Putatan hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga ADUN Tanjung Keramat itu berkata, beliau akan menunggu keputusan yang akan dibuat melalui lembaga disiplin seperti yang dinyatakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.
“Jadi, kita tunggulah..kita bertenang dan tunggu apa sahaja keputusan yang akan dimaklumkan atau diumumkan kelak,” katanya.
Walau bagaimanapun setakat ini, beliau belum menerima sebarang surat daripada kepimpinan UMNO untuk menghadiri apa juga mesyuarat berkaitan status lima ADUN UMNO Sabah itu.
Semasa mesyuarat khas Perhubungan UMNO Sabah pada Isnin, Ahmad Zahid menyatakan status lima ADUN UMNO yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diputuskan melalui lembaga disiplin UMNO sebelum diserahkan kepada Majlis Tertinggi untuk lakukan keputusan.
Pada 6 Januari lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin mengumumkan UMNO/Barisan Nasional (BN) menarik sokongan daripada Hajiji Noor.
Walau bagaimanapun, tidak semua ADUN UMNO bertindak menarik sokongan daripada Hajiji.
Lima yang kekal menyokong Ketua Menteri Sabah itu ialah Shahelmey, Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin).- UTUSAN










