KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini hanya membenarkan dua perenggan pernyataan saksi tambahan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali dibacakan pada hari ini.
Dua perenggan itu adalah berkaitan dengan beberapa tangkap layar hantaran di laman media sosial Facebook saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin dan beberapa rakaman video Bella termasuk pada sambutan Aidilfitri.
Hakim Izralizam Sanusi memutuskan demikian selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak berhubung permohonan untuk memadamkan beberapa perenggan daripada pernyataan saksi Siti Bainun.
Terdahulu ketika berhujah, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas memohon supaya beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Siti Bainun perlu dibuang kerana ia bersifat memprejudiskan pihak pendakwaan selain memberi ulasan dan pandangan.
Tambahnya, terdapat beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Siti Bainun mempertikaikan keterangan saksi-saksi pakar pendakwaan seperti doktor yang merawat Bella sedangkan tertuduh bukanlah seseorang yang pakar dalam dalam bidang tersebut.
Bagaimanapun peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya membaca kesemua pernyataan bertulis tambahan.
Ini kerana, pernyataan saksi itu tidak memprejudiskan pihak pendakwaan.
Peguam itu berkata demikian dalam perbicaraan kes Siti Bainun, 31, atas tuduhan didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Peguam bela itu kembali mewakili Siti Bainun selepas ‘dipujuk’ wanita terbabit untuk terus mewakilinya.
Pada prosiding itu, Siti Bainun memberitahu Izralizam, dia sebenarnya tidak pernah berhenti meminta peguam-peguamnya sebelum ini untuk terus mewakilinya malah turut memaklumkan YBGK berhubung perkara itu.
Pada 13 Januari lalu, Mohammad Farhan dan beberapa peguam lain telah menarik diri daripada mewakili Siti Bainun atas alasan kekangan masa dan jadual kes yang bertindih.
Insiden tersebut menyebabkan Siti Bainun terpaksa meneruskan prosiding bela diri pada 26 Januari lalu dengan membaca pernyataan saksinya tanpa kehadiran peguam bela.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN