Sekolah mula 8 pagi cetus reaksi berbeza - Utusan Malaysia

Sekolah mula 8 pagi cetus reaksi berbeza

MURID Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Seksyen 32 Shah Alam hadir bagi memulakan persekolahan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saranan untuk menganjakkan waktu mula sesi persekolahan dari 7.30 ke 8 pagi menerima pelbagai reaksi kerana walaupun ia dianggap sebagai syor yang baik namun masih mendatangkan implikasi lain.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (Kongres), Jasni Md Kechik, berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut kerana ia mampu memberi manfaat kepada semua daripada pelbagai aspek.

Menurut beliau, sesi persekolahan kini yang bermula seawal 7.30 pagi membuat semua pihak terburu-buru terutama guru dan ibu bapa kerana perlu menghantar anak lebih awal untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas semasa perjalanan ke tempat kerja.

“Wajar (cadangan tersebut) dipertimbangkan, ini untuk kesejahteraan untuk rakyat Malaysia. Sekarang pun sekiranya keluar terlalu awal ia akan mendatangkan masalah seperti daripada segi keselamatan pelajar itu sendiri.

“Bimbang sekiranya pelajar datang lebih awal daripada sepatutnya, jika tiada siapa di sana dan pelajar menaiki ke bangunan sekolah seorang diri. Ini sebab ibu bapa perlu hantar awal untuk ke tempat kerja mereka.

“Cadangan tersebut juga adalah perkara ‘kecil’ yang tidak melibatkan apa-apa dasar. Warga pendidik sahut baik perkara ini disebabkan kami juga perlu hantar anak awal ke sekolah, jadi sekiranya ia dilaksanakan memang memberi kesan positif kepada keseluruhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan wajar menunjukkan keprihatinannya dengan membenarkan sesi persekolahan bermula 8 pagi demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Ini kerana, guru, ibu bapa dan pelajar sendiri terpaksa bangun seawal 4.30 pagi untuk bersiap ke sekolah, sekiranya berada di kawasan bandar pula perlu berada di jalan raya pada 6 pagi.

Sekiranya di kawasan pendalaman pula lebih mendukacitakan apabila pelajar perlu bersusah payah untuk ke sekolah seperti berjalan dalam becak dan lumpur, meredah denai kecil serta berperahu sedangkan hari masih gelap.

Walau bagaimanapun, Presiden Ikatan Guru- Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berpendapat cadangan tersebut masih perlu diperhalusi kerana sistem persekolahan dalam negara melibatkan dua sesi iaitu pagi dan petang.

Sehubungan itu, sekiranya sesi bermulanya persekolahan dianjakkan pada 8 pagi ia akan memberi kesan kepada pelajar yang menduduki sesi pembelajaran petang.

“Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mendapatkan pandangan semua pihak kerana ia melibatkan ibu bapa , guru dan pelajar. Wajar juga KPM mendapatkan maklum balas kesatuan guru untuk melihat kesesuaian cadangan ini.

“Sesi persekolahan dimulakan pada 7.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan pergerakan ke tempat kerja masing- masing serta memastikan masa pembelajaran mencukupi terutama sekolah yang terpaksa menjalankan dua sesi.

“Kebimbangan jika dimulakan lewat akan menyebabkan sesi persekolahan petang akan berakhir lewat dan keutamaan keselamatan murid perlu diambil kira. Begitu juga memulakan awal itu bukan untuk sesi pembelajaran tetapi untuk urusan perhimpunan dan taklimat kepada pelajar- pelajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.