‘Sedikit gegaran dua kali, gempa jauh penempatan Malaysia’

‘Sedikit gegaran dua kali, kejadian gempa jauh penempatan Malaysia’

NUR Hidayah Ismail bersama suami dan anak-anak di Damascus, Syria.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Ketika itu saya bersama suami sedang bersahur pada pukul 4.20 pagi, tiba-tiba saya dan suami melihat lampu gantung di rumah bergoyang dan kami terasa sedikit struktur rumah bergoyang.

“Saya dan suami hanya mampu berzikir. Alhamdulillah dalam beberapa minit keadaan kembali stabil.”

Situasi mencemaskan itu dice­ritakan seorang pelajar Malaysia di Syria, Nur Hidayah Ismail, 36, berikutan kejadian gempa bumi berukuran 7.8 magnitud berhampiran sempadan Turkiye-Syria pada awal pagi kelmarin.

“Kawasan yang berlaku kejadian gempa jauh dari penempatan saya dan pelajar Malaysia di sini. Cuma ada terasa sedikit gegaran sebanyak dua kali,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau yang menetap di Damascus, Syria hampir setahun memberitahu Utusan Malaysia, keadaan ketika itu amat mendebarkan, namun bersyukur tidak ada kejadian buruk berlaku.

Nur Hidayah yang merupakan pelajar bahasa di Maahad Bahasa berkata, terdapat kira-kira 20 pelajar Malaysia berada di negara itu dan disahkan selamat.

Dia bagaimanapun tetap gementar dan risau walaupun kawasan tempat tinggal tidak terjejas memandangkan lokasi kejadian kira-kira dalam jarak 500 kilometer.

“Alhamdulilah saya bersyukur kawasan kami tidak terkesan,” katanya yang turut bersama tiga orang anak di sana.

Dunia gempar apabila gempa berukuran 7.8 skala Magnitud melanda barat bandar raya Gaziantep dekat sempadan Syria pada pukul 4.17 pagi (9.17 pagi waktu Malaysia) pada 6 Februari lalu dengan sekurang-kurang­nya 5,000 terkorban, dengan anggaran 20,000 cedera di kedua-dua negara (setakat 6 petang).

Pasukan tindak balas bencana Turkiye dan Syria melaporkan lebih daripada 5,600 bangunan ranap di beberapa bandar termasuk blok pangsapuri ber­­tingkat yang dipenuhi penduduk yang sedang tidur ketika gempa bumi melanda.

Gegaran kedua tertinggi dalam sejarah Turkiye selepas 1939 yang berkekuatan 7.9 skala Magnitud itu, turut mengakibatkan ancaman tsunami kecil di perairan negara jiran, Cyprus.

Jarak antara Gaziantep yang berkeluasan 2,250 kilometer persegi dan dihuni lebih 2.1 juta penduduk itu dengan ibu kota Ankara ialah lebih 700 kilo­meter atau tujuh jam berkereta.

Wisma Putra mengesahkan 12 rakyat Malaysia yang berada di kawasan gempa bumi di Turkiye dilaporkan selamat.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya percaya kesemua individu terbabit adalah mereka yang bekerja di negara berkenaan.

Malaysia menghantar seramai 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang sudah tiba di Turkiye semalam bagi menghulurkan bantuan kemanusiaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×